Pulau Pinang tetapkan tiga kadar zakat fitrah

Mohamad (tengah) bersama Roslan (kanan) dan Amran (kiri) menunjukkan tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan tahun ini bagi Pulau Pinang.
Mohamad (tengah) bersama Roslan (kanan) dan Amran (kiri) menunjukkan tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan tahun ini bagi Pulau Pinang.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Tiga kadar bayaran zakat fitrah ditetapkan di Pulau Pinang pada tahun ini iaitu RM7, RM14 dan RM21.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, tiga kadar itu ditetapkan bagi memberi peluang kepada umat Islam di negeri ini yang mempunyai kelebihan dari segi kemampuan membayar zakat fitrah lebih tinggi.

Menurutnya, ketetapan itu dibuat selepas mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam bagi negeri Pulau Pinang.

"Perincian kadar harga zakat fitrah ialah RM7 bagi mereka yang menggunakan atau makan beras super spesial tempatan lima peratus, beras hancur, atau lain-lain yang setara dengannya.

"Bagi kadar RM14 pula bagi mereka yang makan beras rebus, Thai white rice, beras putih import, beras perang manakala bagi kadar RM21 pula untuk mereka yang makan beras wangi, beras pulut, beras basmati, beras herba ponni, beras balrose atau yang setara denganya," katanya pada sidang akhbar di sini pada pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Datuk Roslan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Amran Hazali.

Dr Mohamad yang juga Exco Agama Islam berkata, pada tahun lalu, ZPP menerusi amil zakat fitrah yang dilantik oleh MAINPP memungut sebanyak RM6.84 juta.

Melihat kepada prestasi kutipan yang memberangsangkan itu, pada tahun ini katanya, ZPP menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM7 juta.

Artikel Berkaitan:

"Pada tahun ini, jumlah kariah dan pusat kutipan yang dilantik oleh MAINPP adalah sebanyak 237 kariah dengan jumlah amil yang ditauliahkan seramai 1,699 orang di seluruh negeri Pulau Pinang," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada umat Islam di Pulau Pinang agar membayar zakat fitrah mereka kepada amil yang sah dan dilantik oleh MAINPP sebagaimana dinyatakan bawah Seksyen 16, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

Katanya, mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah atau menyebabkan dipungut zakat atau fitrah tanpa dia dilantik sebagai amil atau selainnya diberi kuasa oleh majlis agama adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, tambah beliau, mana-mana orang yang membayar atau menyebabkan supaya dibayar zakat atau fitrah kepada mana-mana orang yang tidak diberi kuasa secara sah untuk memungut zakat atau fitrah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"ZPP menggalakkan agar umat Islam di Pulau Pinang dapat menunaikan zakat fitrah mereka melalui kaedah dalam talian yang disediakan seperti melalui Portal zakatpenang2u.com dan JomPay.

"Segala urusan penerimaan zakat harta oleh ZPP seperti zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat emas dan perak dan zakat-zakat yang lain masih beroperasi seperti biasa di semua kaunter-kaunter perkhidmatan ZPP seluruh negeri Pulau Pinang mengikut waktu operasi yang akan diuar-uarkan di saluran-saluran media sosial ZPP," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!