Cium, usap hajarulaswad bukan rukun haji, umrah

Hukum mengusap atau mengucup hajarulaswad adalah sunat dan perbuatan itu bukan syarat sah tawaf untuk ibadat haji atau umrah. Foto Pexels.com
Hukum mengusap atau mengucup hajarulaswad adalah sunat dan perbuatan itu bukan syarat sah tawaf untuk ibadat haji atau umrah. Foto Pexels.com
A
A
A

GEORGE TOWN - Hukum mengusap atau mengucup hajarulaswad adalah sunat dan perbuatan itu bukan syarat sah tawaf untuk ibadat haji atau umrah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perbuatan itu juga bukan rukun haji atau umrah yang wajib ke atas seseorang yang menunaikan ibadah haji atau umrah.

Beliau berkata, jika keadaan terpaksa berhimpit dan berlaku tolak menolak, ia cukup sekadar menggunakan isyarat dengan tangan ke arah hajarulaswad sahaja.

"Mereka yang berpeluang mengusap hajarulaswad atau mengucupnya dengan mudah tanpa berhimpit-himpit dan tanpa menyakiti orang lain, maka elok lah seseorang itu mengambil peluang berkenaan.

"Bagaimanapun, jika terpaksa berhimpit dan tolak menolak antara jemaah untuk mengusap atau mengucup batu tersebut, maka lebih baik tidak usah dilakukan, berpada dengan isyarat dengan tangan ke arahnya sahaja," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan usahawan dan pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad apabila memuat naik videonya bergelut untuk mencium hajarulaswad.

Menerusi video itu, Hafiz dilihat berusaha mencium batu berkenaan sehingga kain ihramnya terlondeh dan menampakkan bentuk badan.

Jelas anak jati Kelantan itu, beliau berbuat demikian sebagai usaha merealisasikan impian kakitangan yang menyatakan hasrat kepada isterinya untuk mencium hajarulaswad ketika berada di kota suci Makkah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Hafiz memohon maaf atas perbuatannya memuat naik video tersebut dan mengambil keputusan untuk menurunkan rakaman berkenaan selepas menerima pandangan serta nasihat ustaz, selain mahu menjaga keharmonian di media sosial.

Sementara itu, Wan Salim menyarankan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) dan barisan pembimbing ibadat supaya menjelaskan perkara tersebut kepada para jemaah sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci demi kesempurnaan ibadat yang dijalankan di Makkah.

"Sesetengah orang menyangka bahawa sesiapa tidak mengusap atau mengucup hajarulaswad akan mengurangkan pahala haji atau umrah. Sangkaan sedemikian tidak benar. Mengusap atau mengucup batu berkenaan adalah sunat dalam keadaan lapang dan mudah dilakukan.

"Diriwayatkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menasihatkan Saidina Umar Al-Khattab supaya tidak berebut untuk mengucup hajarulaswad. Tujuannya adalah bagi memberi peluang kepada jemaah yang lebih lemah untuk mengusap atau mengucup batu berkenaan.

"Maka adalah wajib ke atas mereka yang menunaikan ibadat haji atau umrah supaya memelihara kehormatan Baitullah serta tidak menyakiti mana-mana manusia di tempat suci itu," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28