Hukum cium hajar aswad haram jika membahayakan - Zulkifli

Tangkap layar rakaman video tular yang menunjukkan momen mencium hajar aswad ketika menunaikan umrah baru-baru ini.
Tangkap layar rakaman video tular yang menunjukkan momen mencium hajar aswad ketika menunaikan umrah baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Hukum mencium hajar aswad adalah haram sekiranya membahayakan termasuk menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bahkan di sisi ulama Syafi’iyyah, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium hajar aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang.

"Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium hajar aswad adalah sunat.

"Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari

"Agak janggal bila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Tular di media sosial usahawan dan pempengaruh terkenal memuat naik rakaman video menunjukkan momen dia membantu isteri dan kakitangan wanita syarikatnya untuk mencium hajar aswad ketika menunaikan umrah baru-baru ini.

Klip video berdurasi lebih dua minit itu memaparkan lelaki tersebut berasak-asak sehingga terpaksa menolak dan menjerit kepada jemaah lain untuk memberi laluan kepada kumpulan jemaah wanita berkenaan.

Situasi itu juga menyebabkan kain ihram yang dipakai turut terlondeh sehingga menampakkan badannya.

Artikel Berkaitan:

Rata-rata warganet mengecam tindakan lelaki terbabit kerana menyifatkan ia sebagai 'content' untuk meraih perhatian.

Sehubungan itu, Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan masyarakat agar meninggalkan trend memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau hajar aswad di media sosial.

"Jika ia hanya sekadar trend untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah trend yang merugikan itu.

"Sewajarnya di hadapan Baitullah, kita fikirkan dosa kita, keampunan daripada Allah, termasuk doa-doa kepada-Nya. Dengan itu sahaja pun kita sudah cukup sibuk tanpa sempat memikirkan peluang untuk mencipta 'content'," katanya.