Cium hajar aswad sunat tapi jaga kesucian wanita wajib

PERBUATAN mencium hajar aswad adalah sunat namun apa yang lebih penting adalah wajib menjaga kesucian wanita. Foto Pexels.com
PERBUATAN mencium hajar aswad adalah sunat namun apa yang lebih penting adalah wajib menjaga kesucian wanita. Foto Pexels.com
A
A
A

MENCIUM hajar aswad ketika berada di Masjidil Haram, Makkah adalah ibadah sunat berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah SAW.

Di samping mengikuti sunnah Nabi, ibadah itu juga dapat menzahirkan sifat ubudiyyah (kehambaan) seorang hamba kepada ALLAH SWT.

Bagaimanapun, timbul persoalan apakah hukum bersesak-sesak antara lelaki dan wanita ketika mahu mendekati hajar aswad sebelum menciumnya?

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Ustaz Mohd Dzulkhairi Mohd Noor menjelaskan, Islam merupakan agama yang amat mengambil berat mengenai hubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

"Seboleh mungkin Islam cuba mengelakkan berlakunya percampuran kerana boleh mengundang banyak fitnah.

"Bagi Ummul Mukminin RA, beliau tidak bersetuju berlakunya percampuran ketika tawaf," jelasnya dalam satu hantaran status di Facebook miliknya.

Beliau turut memetik hadis yang diriwayatkan Al-Bukhari: "Dahulu Saidatina Aishah RA melaksanakan tawaf di pinggiran Kaabah (menyendiri) dan tidak bercampur dengan kaum lelaki. Lalu ada seorang wanita berkata kepada beliau, 'Wahai Ummul Mukminin, ayuh kita pergi mencium hajar aswad.' Ummul Mukminin membalas: 'Kamu sahaja yang pergi.’ Sedangkan beliau enggan pergi."

Artikel Berkaitan:

USTAZ MOHD DZULKHAIRI
USTAZ MOHD DZULKHAIRI

Menurut Mohd Dzulkhairi, Ibnu Juraij berkata: "Saya dimaklumkan bahawa Ummul Mukminin RA mendiami rumah 'Utbah bin Muhammad bin Al-Harith. Beliau telah mengerjakan tawaf selepas waktu Isyak. Apabila ingin tawaf, beliau menyuruh semua pelita masjid dipadamkan, barulah beliau tawaf."

Di dalam Sunan al-Baihaqi pula, ketika seorang wanita memberitahu Ummul Mukminin RA bahawa dia telah melakukan tawaf sebanyak tujuh kali dan menyentuh rukun yamani dua atau tiga kali, Saidatina Aishah RA berkata; "ALLAH tidak memberikan ganjaran kepadamu, ALLAH tidak memberikan ganjaran kepadamu, kamu telah bertolak-tolak dengan lelaki. Tidakkah cukup kamu hanya bertakbir dan berlalu (pergi)?"

Diriwayatkan oleh Saad bin Abi Waqqas RA, beliau berkata kepada kaum wanita: "Apabila kamu menemui ruang kosong, maka kamu sentuhkah rukun yamani. Jika tidak, cukuplah kamu bertakbir dan pergi."

Tambah beliau lagi, sebenarnya tiada ulama yang menyokong berlakunya percampuran antara lelaki dengan wanita sama ada ketika tawaf atau mana-mana ibadah termasuklah ketika bersesak-sesak membeli-belah ketika ke Tanah Haram dan di semua tempat.

"Namun kita memahami kesukaran untuk mengawal manusia yang pelbagai dan karenah masing-masing," katanya.

MEMPRAKTIKKAN seperti apa yang dilakukan Ummul Mukminin Aishah RA iaitu berada jauh daripada lelaki itu lebih baik ketika melakukan ibadah tawaf. Foto Pexels.com
MEMPRAKTIKKAN seperti apa yang dilakukan Ummul Mukminin Aishah RA iaitu berada jauh daripada lelaki itu lebih baik ketika melakukan ibadah tawaf. Foto Pexels.com

Timbul satu persoalan, jadi bagaimana cara Rasulullah SAW mengawal percampuran atau ikhtilat semasa tawaf?

Imam Al-Bukhari dalam kitabnya menjelaskan, Ummu Sallamah RA pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa dia sakit lalu Baginda bersabda: "Kamu tawaflah di belakang orang lelaki dengan menunggang haiwan."

Menurut Ibnu Hajar, Nabi Muhammad SAW memerintahkan isteri baginda agar bertawaf di bahagian belakang baginda kerana itu lebih melindungi dan memeliharanya.

Menurut al-Baji dalam kitab Syarah al-Muwatta' Malik beliau berkata: "Untuk wanita, sunnahnya mereka tawaf di belakang lelaki, ini kerana tawaf merupakan ibadah yang berkaitan degan Baitullah. Apa lagi sunnah bagi wanita memang berada di belakang lelaki seperti solat."

Mohd Dzulkhairi menambah, Ibnu Uthaimin menyatakan: "Tawaf bersama lelaki dengan wanita tidak ada masalah. Tidak mungkin kita dapat menghalangnya khususnya pada zaman sekarang.

"Ini kerana setiap wanita bersama mahram mereka. Jika mereka dihalang untuk bersama lelaki (mahram mereka), pasti akan menyusahkan mereka dan banyak keburukan boleh berlaku.

“Namun, jika kita mempraktikkan seperti yang dilakukan Ummul Mukminin Aishah RA, berada jauh daripada lelaki, itu lebih baik. Mereka meletakkan wanita pada satu sudut pada ketika itu manusia belum berasak-asak seperti sekarang,” katanya.

Tambah Ibnu Uthaimin lagi, jika kita ingin menghalang mereka dan menyuruh mereka bertawaf pada waktu malam, itu menyusahkan.

“Jika kita asingkan terus antara lelaki dengan perempuan, pasti akan berlaku fitnah yang jauh lebih besar. Orang akan mengganggu kaum wanita tanpa ada orang yang mampu membela mereka.

“Walau bagaimanapun, setiap orang hendaklah bertaqwa kepada ALLAH dan jangan bersesak dengan kaum wanita seboleh mungkin. Wanita juga mesti berhati-hati dengan orang jahat yang boleh mengganggu mereka di tempat tawaf.

“Kita dapati ada lelaki yang berdekatan dengan kaum wanita daripada awal tawaf hinggalah akhirnya,” katanya.

Mohd Dzulkhairi yang juga penulis buku Bimbingan Para Solihin itu berkata, kita mengutamakan perkara sunat iaitu mencium hajar aswad namun mengetepikan perkara wajib khususnya menjaga kesucian wanita.