Malaysia, tiga negara kaji guna semula Nelfinavir rawat denggi

Dzulkefly semasa sidang media selepas merasmikan Hari Keterlihatan Penyelidikan Denggi 2024 dengan kerjasama Drugs for Neglected Diseases Initiative (DNDi) dan Clinical Reserch Malaysia (CRM) di Institut Kesihatan Negara Setia Alam hari ini. - Foto Bernama
Dzulkefly semasa sidang media selepas merasmikan Hari Keterlihatan Penyelidikan Denggi 2024 dengan kerjasama Drugs for Neglected Diseases Initiative (DNDi) dan Clinical Reserch Malaysia (CRM) di Institut Kesihatan Negara Setia Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia bersama Brazil, India dan Thailand sedang melaksanakan kajian bagi penggunaan semula ubat Nelfinavir untuk rawatan penyakit demam denggi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, proses tujuan semula itu kini berada di peringkat ujian klinikal bagi menguji keberkesanan ubat yang sebelum ini telah digunakan dalam vaksin melawan penyakit Hepatits C dan juga ubatan rawatan pesakit Aids.

"Kajian penggunaan semula ubat ini turut melibatkan kerjasama daripada Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi), sebuah organisasi penyelidikan dan pembangunan yang sebelum ini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan menghasilkan rawatan Hepatits C.

"Apa pun, usaha yang dilakukan dalam membangunkan satu vaksin atau ubat antiviral menuntut satu tempoh masa yang lama bagi memenuhi prosedur tertentu seperti aspek keberkesanan dan keselamatan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Keterlihatan Penyelidikan Denggi 2024 di Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, pihaknya yakin antiviral itu boleh digunakan selewatnya-lewatnya tahun hadapan memandangkan ketika ini kajian guna semula Nelfinavir kini berada di peringkat ketiga daripada empat peringkat sebelum diluluskan.

Beliau percaya, kolaborasi global di bawah nama Dengue Alliance yang digerakkan empat negara endemik sejak 2022 itu dapat menghasilkan kajian klinikal yang diperlukan dalam membangunkan ubatan baharu paling berpotensi merawat penyakit itu.

"Kita harap agar Dengue Alliance dapat mencatat satu lagi kejayaan dan memberi harapan baharu dalam rawatan denggi sebagaimana pencapaian sebelum ini dalam menghasilkan rawatan Hepatitis C," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: