Northport menang anugerah khas di AIGA 2023

Azman Shah (tiga dari kanan) menerima Anugerah Khas 'Pengamal Keselamatan dan Kesihatan (OSH) Berintegriti Terbaik' daripada Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tiga dari kiri) semasa majlis AIGA 2023 di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya pada 29 Februari 2024.
Azman Shah (tiga dari kanan) menerima Anugerah Khas 'Pengamal Keselamatan dan Kesihatan (OSH) Berintegriti Terbaik' daripada Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tiga dari kiri) semasa majlis AIGA 2023 di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya pada 29 Februari 2024.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) iaitu Northport (Malaysia) Bhd (Northport) memenangi anugerah khas bagi ‘Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Berintegriti Terbaik’ di Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2023 yang berlangsung di Perbadanan Putrajaya pada 29 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, pihaknya berbesar hati apabila diumumkan sebagai pemenang kerana pencapaian tersebut adalah manifestasi keupayaan dan komitmennya dalam melaksanakan sistem pengurusan keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Malah menurut beliau, ia termasuk sistem pengurusan antirasuah sebagai perkara penting dalam operasi perniagaannya yang merupakan sebahagian daripada perjalanan transformasi ‘Reinventing Northport’.

“Sejak pengambilalihan Northport oleh MMC pada 2016, pelabuhan telah memulakan ‘Reinventing Northport’ dan memperkenalkan nilai teras baharu iaitu Integriti, Kepedulian Pelanggan, Inovasi, Kerja Berpasukan serta Kecemerlangan (InCITE).

“Ia adalah langkah strategik untuk mengubah Northport menjadi pelabuhan yang selamat, hijau, pintar dan lebih baik serta mengubah persepsi negatif tentang pelabuhan tempat kerja tidak selamat di mana kemalangan atau jenayah berlaku.

“Sebagai salah satu penyedia perkhidmatan penting negara dan petugas barisan hadapan ekonomi, kami komited untuk terus membasmi sebarang bentuk salah laku bagi mengukuhkan standard keselamatan pelabuhan serta melindungi perniagaan kami,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

AIGA merupakan satu platform bagi mendedahkan keupayaan, kemampuan, komitmen dan kesungguhan sektor swasta serta awam melalui pelaksanaan pengurusan integriti juga pencegahan rasuah.

Anugerah khas tersebut memberikan pengiktirafan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen menerusi pembudayaan, pengamalan integriti serta tadbir urus terbaik selain inisiatif antirasuah dalam organisasi.

Artikel Berkaitan:

Ia disampaikan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang juga merupakan Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM).

Sebanyak 154 agensi dari seluruh negara terdiri daripada 95 sektor awam dan 59 sektor swasta menyertai anugerah kali ini di mana ia merupakan peningkatan ketara sebanyak 38 peratus berbanding AIGA 2022.

Sebagai rekod, pada November lalu, Northport diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) 2023 di bawah kategori Sasaran Penting Keutamaan lI kerana komitmen dan dedikasinya mencapai kecemerlangan dalam pengurusan keselamatan serta menggalakkan budaya keselamatan di seluruh organisasi.