TH cemerlang, raih anugerah inovasi terbaik AIPSA 2023

A
A
A

Syed Hamadah (kanan) menerima pengiktirafan daripada Anwar (tiga dari kiri) atas kejayaan TH sebagai Penerima Terbaik Trek Sosial Anugerah Sektor Awam sempena AIPSA 2023 di PICC, Putrajaya pada Selasa lalu sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri).
Syed Hamadah (kanan) menerima pengiktirafan daripada Anwar (tiga dari kiri) atas kejayaan TH sebagai Penerima Terbaik Trek Sosial Anugerah Sektor Awam sempena AIPSA 2023 di PICC, Putrajaya pada Selasa lalu sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya mengukuhkan kecemerlangan dalam bidang inovasi apabila dinobatkan sebagai Penerima Terbaik Trek Sosial Anugerah Sektor Awam bagi projek impak tinggi menerusi inisiatif rangkaian perkhidmatan digitalnya, THiJARI.

Anugerah itu diterima institusi Islam berkenaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa lalu.

Pada tahun ini, AIPSA bertemakan “Malaysia Madani Memperkasa Inovasi".

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, anugerah itu merupakan pengiktirafan besar bagi TH sekali gus mencerminkan komitmen pihaknya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih 9 juta pendeposit.

Malah, inovasi aplikasi THiJARI itu jelasnya turut selari dengan usaha TH yang sentiasa menekankan aspek pembangunan digitalisasi dalam melaksanakan perkhidmatannya.

“THiJARI adalah inisiatif serta komitmen TH untuk memudahkan para pendeposit melakukan transaksi secara dalam talian dengan selamat tanpa perlu hadir ke pejabat cawangan. Pencapaian ini turut menandakan kepercayaan yang tidak terhingga oleh para pendeposit terhadap TH.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, TH sentiasa berusaha memberikan kemudahan serta perkhidmatan yang terbaik pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

AIPSA diwujudkan untuk mengiktiraf dan meraikan agensi yang telah memberi sumbangan signifikan serta nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan awam melalui penghasilan inovasi.

Malah, pelaksanaan AIPSA turut menyokong teras ketiga visi Malaysia MADANI iaitu Daya Cipta (inovasi) yang mana matlamat utamanya adalah untuk membudayakan inovasi dalam kalangan agensi-agensi sektor awam.

Pada tahun ini, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri telah menerima 313 penyertaan untuk anugerah AIPSA dan hanya 34 sahaja telah disenarai pendek oleh Jawatankuasa Pencalonan.