Struktur semula ekosistem pengeluaran padi - Sultan Kedah

Sultan Sallehuddin bertitah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Kedah ke-15, di Wisma Darul Aman.
Sultan Sallehuddin bertitah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Kedah ke-15, di Wisma Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah perlu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menstrukturkan semula ekosistem pengeluaran dan pasaran padi agar memberi pulangan setimpal kepada petani, bukan hanya menguntungkan pemain hiliran semata-mata.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, ini kerana sektor pertanian khususnya pengeluaran beras adalah sektor terpenting yang menjadi asas keselamatan makanan negara.

Baginda bertitah, pembekalan beras bagi memenuhi keperluan negara adalah tanggungjawab strategik negeri kepada Persekutuan yang tidak boleh dikompromi demi memastikan keselamatan makanan negara terjamin.

“Tanpa memperluaskan kawasan jelapang padi sedia ada, kerajaan negeri perlu fikirkan langkah wajar untuk meningkatkan produktiviti padi di negeri ini.

“Penyelesaian ketara adalah penggunaan teknologi dalam pertanian di segenap peringkat rantaian pengeluaran padi perlu diperkasakan bermula dari pengeluaran benih sehingga penuaian,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15, di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.

Turut berangkat sama, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sultan Sallehuddin bertitah, agar cabaran dihadapi petani dalam mengguna pakai teknologi seperti tahap kemampuan kewangan dan kekurangan ilmu pengetahuan perlu diselesaikan.

“Nasib petani yang merupakan ‘power house’ sebenar sektor pertanian padi perlu diberi perhatian serius. Dengan hasil pendapatan sangat rendah, keringat mereka diperah dengan balasan tidak setimpal.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan perlu ambil langkah bekerjasama dengan pihak swasta untuk sediakan perkhidmatan teknologi pertanian pada harga murah dan berkualiti,” titah baginda.

Baginda percaya perancangan penggunaan teknologi dalam pertanian diperlukan dalam usaha memodenkan sektor pertanian negeri ini.

“Selain padi, pengeluaran tanaman makanan lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran perlu dipelbagaikan agar sektor makanan menjadi lebih mampan,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin juga mahu sektor pelancongan dikembangkan dengan sumber dan aset pelancongan negeri dimanfaatkan sepenuhnya kerana mempunyai nilai tambah yang tinggi.

“Pelancongan adalah sektor kedua terbesar dengan sumbangan kepada KDNK Kedah sebanyak 16.7 peratus atau RM 8.517 bilion.

“Penganjuran Tahun Melawat Kedah 2025 adalah usaha yang tepat. Pulau Langkawi harus terus diperkasakan selain produk pelancongan sedia ada dinaiktaraf agar relevan dengan trend pelancongan semasa,” titah baginda.

Sultan Kedah berharap Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan konsep pembangunan Langkawi dikekalkan dengan ciri keindahan semulajadi.

“Projek pelancongan seperti naik taraf Jeti Kuala Kedah perlu disegerakan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung ke Pulau Langkawi.

“Beta harap promosi pelancongan tanah besar Kedah turut diberi perhatian selain Langkawi. Produk pelancongan sedia ada perlu digilap serta tempat-tempat pelancongan baharu berimpak tinggi perlu dibangunkan,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin juga mahu ketamadunan Kedah Tua di Sungai Batu diberikan perhatian melalui pembangunan prasarana, setimpal dengan kekayaan nilai sejarahnya.

“Selain pelancongan berteraskan alam semulajadi dan warisan, konsep pelancongan kesihatan boleh diterokai, yang mula mendapat permintaan komuniti global khususnya warga emas dan berpendapatan tinggi.

“Beta percaya sekiranya strategi, promosi dan penyediaan infrastruktur dilaksanakan secara rapi mulai tahun ini, Tahun Melawat Kedah 2025 akan menjadi platform untuk mengangkat negeri setanding destinasi pelancongan global lain,” titah baginda.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28