Hilang waras akibat gagal kawal emosi

Jangan bertindak keterlaluan kerana perbuatan melampaui batas adalah perkara yang dilarang dalam agama. Foto 123RF
Jangan bertindak keterlaluan kerana perbuatan melampaui batas adalah perkara yang dilarang dalam agama. Foto 123RF
A
A
A

KEJADIAN tular seorang lelaki maut akibat dipukul orang ramai di Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang, Selangor pada 20 Februari lalu sememangnya mengejutkan.

Perkara tersebut telah menyebabkan kita semua marah kerana telah hilang rasa kemanusiaan oleh pihak yang melakukan perbuatan tersebut.

Mangsa telah diperlakukan dengan kejam kerana dalam kejadian itu, dia turut diikat dan dipukul tanpa belas kasihan.

Susulan kes tersebut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam sidang akhbar pada 23 Februari mengesahkan, mangsa yang berusia 41 tahun itu mempunyai 10 rekod narkotik dan dikehendaki polis.

Walau apapun kisah silam mangsa, perbuatan kejam terhadap dirinya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Namun apa yang mengejutkan dalam sidang akhbar tersebut ialah hasil bedah siasat awal ke atas mangsa.

Bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan ketara pada badan mangsa yang boleh membawa kepada kematian.

Berikutan itu, siasatan lanjut diperlukan termasuk ujian patalogi atau analisis makmal bagi menentukan sebab kematian mangsa berhubung kejadian tragis itu.

Artikel Berkaitan:

Seandainya laporan patalogi menyatakan punca kematian bukan disebabkan pukulan, adakah sekumpulan suspek yang dituduh di Mahkamah Majistret Bangi untuk kes itu akan dikurangkan hukuman?

Namun biarlah mahkamah mengadili kes tersebut seadil-adilnya dan membuat keputusan tepat.

Menghormati kejadian yang telah pun berlaku, kita sebagai insan berdoa yang baik-baik buat arwah dan mengambil pengajaran daripada kejadian tersebut.

Banyak iktibar dan pengajaran yang boleh diambil sebagai panduan kehidupan kita seharian.

Pastinya, jangan bertindak keterlaluan kerana perbuatan melampaui batas adalah perkara yang dilarang dalam agama.

Dek kerana terlalu mengikut emosi dan amarah diri ketika itu, ia akhirnya mengundang sesalan sehingga ke akhir hayat.

Sebagai pengajaran yang pernah berlaku sebelum ini ialah kejadian yang menimpa Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang menemui ajal pada empat tahun lalu berpunca daripada pergaduhan dalam satu kemalangan jalan raya.

Tertuduh Yew Wei Liang yang merupakan bekas pekerja teknologi maklumat (IT) berusia 41 tahun dihukum penjara 16 tahun kerana menyebabkan kematian kepada Syed Muhammad Danial.

Begitu juga dengan nasib yang menimpa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang mati selepas dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati, Meru, Perak.

Perbuatan itu dilakukan oleh seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden Polis Mohd Nazri Abdul Razak, 44,

Dia telah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas kesalahan membunuh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pegawai itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi.

Satu lagi kejadian melibatkan seorang pekerja bengkel yang dipenjara dua bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul seorang lelaki di tepi jalan hadapan lampu isyarat Jalan Langat-Klang, Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Faizul Nazri, 39, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

Dia dituduh kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun iaitu patah dan retak tulang rahang ke lapan sebelah kiri.

Semoga selepas ini tidak lagi berlaku kejadian yang tidak diingini hanya kerana kegagalan mengawal emosi.

* Hisyamuddin Ayub ialah Wartawan Meja Jenayah Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28