Pekan Jumaat Sungai Bayor 'kumpul' peniaga, pengunjung tiga negeri

Pengunjung pasar pagi, Sungai Bayor berpakaian tradisional memilih sayuran kampung. Foto Bernama
Pengunjung pasar pagi, Sungai Bayor berpakaian tradisional memilih sayuran kampung. Foto Bernama
A
A
A

LARUT - Dalam ketenangan berlatarbelakangkan suasana kampung di Selama dekat sini, terdapat sebuah pasar pagi dikenali sebagai Pekan Jumaat Sungai Bayor yang menjadi tumpuan lebih 300 peniaga dari tiga negeri mencari rezeki sejak 20 tahun lepas.

Menariknya, pasar pagi yang beroperasi pada setiap Jumaat bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari itu bukan hanya menawarkan pelbagai barangan, tetapi juga sepanjang lebih dua kilometer di jalan Kampung Sungai Bedarah.

Lebih unik, pasar pagi itu merupakan titik pertemuan peniaga dan pengunjung dari tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang dan sentiasa menjadi tumpuan terutama apabila tiba musim cuti sekolah.

Pekan Jumaat Sungai Bayor, Selama menjadi tumpuan lebih 300 peniaga dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang mencari rezeki sejak 20 tahun lalu. Foto Bernama
Pekan Jumaat Sungai Bayor, Selama menjadi tumpuan lebih 300 peniaga dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang mencari rezeki sejak 20 tahun lalu. Foto Bernama

Pengerusi Persatuan Penjaja Daerah Selama, Mohamad Ezaiyuhan Awang, 38, kebiasaannya pengunjung yang datang sekitar 2,000 orang, tetapi jumlah berkenaan akan berganda apabila tiba musim cuti sekolah.

"Pernah saya tanya (pengunjung), bukan hanya dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang malah ada yang datang dari Johor dan Selangor untuk dapatkan pengalaman,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Mohamad Ezaiyuhan yang berasal dari Taiping berkata, pada era awal 60-an hingga 70-an, lokasi asal Pasar Jumaat terletak di tepi Sungai Bedarah, namun ia ditukar ke pekan Sungai Bayor berikutan berlaku peningkatan jumlah peniaga.

Pasar pagi ini beroperasi pada Jumaat setiap minggu dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari. Foto Bernama
Pasar pagi ini beroperasi pada Jumaat setiap minggu dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

"Lokasi berkenaan sekali lagi ditukar iaitu di sini (sepanjang jalan Kampung Sungai Bedarah) pada awal 2004 oleh Majlis Daerah Selama (MDS) atas faktor keselamatan memandangkan lokasi di pekan Sungai Bayor merupakan laluan utama penduduk.

"Saya antara orang yang bertuah kerana saya antara segelintir peniaga di sini yang merasai suasana semasa berniaga di pekan Sungai Bayor dan di sini. Umumnya, tiada apa yang berbeza kecuali banyak peniaga dalam kalangan orang baharu,” katanya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata antara barangan yang ditawarkan di pasar pagi berkenaan ialah aneka makanan dan minuman, hasil pertanian, ikan, buah-buahan, barangan terpakai, mainan kanak-kanak dan sebagainya.

"Lebih separuh daripada jumlah keseluruhan peniaga di sini terdiri daripada peniaga berasaskan kepada bahan makanan. Macam-macam boleh jumpa di sini termasuk barangan yang sukar diperoleh seperti madu tualang, ikan sungai serta buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya.

Selain itu, katanya, Persatuan Penjaja Daerah Selama juga telah menganjurkan beberapa pertandingan yang menjadi aktiviti sampingan bagi meneruskan kerancakan pasar pagi berkenaan.

Beliau berkata, pertandingan yang diatur itu terarah kepada tema busana klasik, makanan, gerai tercantik dan sebagainya melalui kerjasama dengan MDS, Geng Dangor Sungai Bayor, Wk. Picture serta penduduk sekitar Selama.

Pasar pagi ini bukan hanya menawarkan pelbagai barangan malah mempunyai jarak keseluruhan melebihi 2km. Foto Bernama
Pasar pagi ini bukan hanya menawarkan pelbagai barangan malah mempunyai jarak keseluruhan melebihi 2km. Foto Bernama

"Kita buat semua ini adalah untuk memastikan kelangsungan pasar pagi ini. Bila ada program sampingan seperti pertandingan-pertandingan ini, maka ia akan mengundang lebih banyak pengunjung sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga,” katanya.

Sementara itu, peniaga Mohd Nazril Salleh, 32, berkata, sejak enam tahun lepas dia berulang-alik dari rumahnya di Kulim ke pasar pagi itu sejauh lebih 50km demi mencari rezeki dengan berniaga kacang rebus.

Walaupun mengakui jarak perjalanan yang ditempuhi agak jauh, ia tidak mematahkan semangatnya kerana hasil jualan yang diperoleh di pasar pagi itu mampu mencecah RM300 hingga RM450 sehari.

"Walaupun masa berniaga pendek iaitu sekitar lima jam dan hanya sehari berniaga dalam seminggu, namun pendapatan yang diperoleh amat memuaskan hati saya.

Pemandangan deretan gerai pasar pagi, Sungai Bayor. Foto Bernama
Pemandangan deretan gerai pasar pagi, Sungai Bayor. Foto Bernama

"Nak lebih seronok berniaga apabila tiba musim cuti sekolah, kadang-kadang 9 pagi dah tutup gerai sebab kacang semua habis dijual,” katanya menambah MDS hanya mengenakan caj sebanyak RM4 bagi setiap tapak yang disediakan kepada penjaja.

Seorang pengunjung Normala Sidek, 45, dari Ipoh berkata, pihak berwajib perlu memperbanyakkan papan tanda bagi memudahkan pengunjung untuk mencari lokasi sebenar pasar pagi itu.

"Saya cadangkan pihak berkuasa tempatan memasang papan tanda di samping mempamerkan sedikit maklumat tentang pasar pagi ini untuk kemudahan orang luar. Saya yakin dengan keunikan pasar ini mampu menjadi satu lagi tarikan pelancong ke sini,” katanya.

Normala berkata, ini kali ketiga dia bersama keluarga berkunjung ke pasar pagi itu dan antara sebab utama mereka gemar ke lokasi berkenaan adalah kerana suasananya menenangkan selain berpeluang untuk mendapatkan sayur-sayuran atau ulam-ulaman kampung yang segar pada harga berpatutan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28