'Tiada keperluan tukar nama Pasar Payang' - Peniaga

Pasar Payang
Pasar Payang
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penukaran nama Pasar Payang kepada suatu nama lebih moden akan menjejaskan nilai sejarah serta keunikan tersendiri pasar tersebut yang sudah sinonim dengan identiti Terengganu.

Rata-rata peniaga yang ditemui Sinar Harian berpandangan bahawa tiada keperluan untuk menukar nama Pasar Payang kepada nama lain kerana ia sudah dikenali dalam kalangan pengunjung luar yang datang ke Terengganu.

Menurut peniaga kedai makan, Siti Mariam, 38, beliau tidak bersetuju dengan penukaran nama Pasar Payang kerana mahu mengekalkan warisan dan tradisi pasar berkenaan yang bercirikan tradisional.

Siti Mariam
Siti Mariam

"Orang luar apabila datang ke negeri ini mesti kenal nama Pasar Payang sebab memang sudah sebati dengan Terengganu.

"Sebagai contoh pengunjung kalau datang Kelantan mesti akan kenal Pasar Besar Siti Khadijah.

"Begitu juga dengan Pasar Payang... ingat Terengganu mesti akan singgah Pasar Payang.

Artikel Berkaitan:

"Jadi tidak sewajarnya nama tempat ini ditukar dan biarlah dengan nama yang sedia ada supaya warisan dan sejarah pasar ini dapat dikekalkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Sementara itu, peniaga cenderahati, Alisya Nordin, 25, turut berpandangan nama Pasar Payang seharusnya dikekalkan kerana ia lebih dilihat klasik dan tradisional sekali gus menarik pelancong datang singgah ke pasar tersebut.

Alisya
Alisya

"Sepatutnya nama Pasar Payang itu dikekalkan sebab klasik dan lama.

"Ramai pelancong datang ke Terengganu memang sudah kenal dengan Pasar Payang.

"Nama Pasar Payang ini bukan sahaja sudah dekat di hati setiap penduduk setempat tetapi ia juga sudah dikenali pelancong luar negeri dan antarabangsa," ujarnya.

Berkongsi pandangan sama, peniaga buah, Roslina Shafie, 40, menyatakan tidak sesuai nama Pasar Payang ditukar menjadi lebih moden.

Roslina
Roslina

"Nama Pasar Payang ini perlu dikekalkan sebab ada nilai sejarahnya tersendiri.

"Berdasarkan cerita orang lama, nama payang ini diambil sempena ‘perahu payang’ yang sering digunakan nelayan sejak dahulu.

"Pasar ini juga berdekatan dengan Sungai Terengganu, jadi nama Payang itu sudah sinonim dengan peniaga dan masyarakat di sini.

"Tak perlu ditukar menjadi nama moden dan sepatutnya kekalkan tradisi nama sesuatu tempat itu, pelbagai memori dan sejarah ada di sebalik pasar ini yang sudah ada sejak dari tahun 1960-an," jelasnya.

Pada Rabu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan agar Pasar Payang 1 dijenamakan semula sebagai Central Market@ Pasar Payang bagi menjadikan Terengganu sebagai destinasi budaya dan warisan negara kepada pelancong luar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, usaha itu juga dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Pasar Payang sekali gus menjadikan ia sebagai pasar pelancongan dengan menawarkan persekitaran yang menarik dan moden.

Susulan itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menukar nama Pasar Payang kepada suatu nama yang lain.

Ahmad Samsuri berkata, ini kerana nama pasar itu sendiri mempunyai sejarahnya tersendiri yang sudah dekat dengan hati rakyat tempatan.

Dalam pada itu, Kor Ming menyatakan bahawa beliau bersikap terbuka berhubung keputusan kerajaan Terengganu ingin mengekalkan nama Pasar Payang.

Kor Ming turut berkata, keputusan itu diterima dengan baik meskipun pasar berkenaan merupakan projek Kerajaan Persekutuan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28