KPKT peruntuk lebih RM187 juta laksana pembangunan Terengganu

Kor Ming (tengah) ketika melakukan lawatan di Pasar Payang 1 pada Rabu.
Kor Ming (tengah) ketika melakukan lawatan di Pasar Payang 1 pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM187.45 juta melibatkan projek-projek pembangunan di seluruh Terengganu pada tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyatakan jumlah peruntukan tersebut meningkat 23.74 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM151.49 juta.

"Peningkatan (peruntukan) ini jelas membuktikan komitmen Kerajaan Madani bagi membangunkan Terengganu melalui peruntukan-peruntukan pembangunan yang diluluskan meliputi pelbagai agensi di bawah KPKT," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang 1 dan Majlis Kick-Off Program Bandar Selamat Tahun 2024 di sini pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Kor Ming (dua dari kiri) bersama Ahmad Samsuri (tengah) ketika melakukan lawatan di Pasar Payang 1 pada Rabu
Kor Ming (dua dari kiri) bersama Ahmad Samsuri (tengah) ketika melakukan lawatan di Pasar Payang 1 pada Rabu

Kor Ming memberitahu, peruntukan yang diluluskan pada 2023 itu melibatkan tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu bagi melaksanakan 336 projek meliputi projek infrastruktur, kemudahan awam, sosio-ekonomi dan keselamatan.

"Selain peruntukan pembangunan, KPKT juga memberi bantuan sebanyak RM37.6 juta melalui bajet mengurus kepada tujuh PBT di Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap agar peruntukan ini dapat membantu dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan PBT di negeri ini," ujarnya.

Sementara itu, Kor Ming berkata, pihaknya telah menyalurkan sebanyak RM88.5 juta kepada rakyat di Terengganu menerusi Sentuhan Kasih KPKT.

Menurutnya, peruntukan itu melibatkan pembangunan Taman Awam Kuala Kerteh melibatkan kos sebanyak RM17 juta; Pembinaan Pasar Payang Baharu (RM70 juta) serta Program Bandar Selamat (RM1.5 juta).

"Program Bandar Selamat akan diteruskan di Terengganu melalui waran peruntukan sebanyak RM1.5 juta di mana RM500,000 disalurkan kepada Majlis Daerah Marang, Majlis Daerah Besut (RM500,000) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (RM500,000)," ujarnya.