KPKT cadang Pasar Payang 1 dijenamakan Central Market@Pasar Payang

Nga (tengah) ketika sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang pada Rabu.
Nga (tengah) ketika sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan agar Pasar Payang 1 dijenamakan semula sebagai Central Market@ Pasar Payang bagi menjadikan Terengganu sebagai destinasi budaya dan warisan negara kepada pelancong luar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, usaha itu juga dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Pasar Payang sekali gus menjadikan ia sebagai pasar pelancongan dengan menawarkan persekitaran yang menarik dan moden.

"Saya berharap pasar payang ini diberi nama Central Market@Pasar Payang sekali gus dinaik taraf menjadi salah satu warisan negara seperti Centrel Market di Kuala Lumpur pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang dekat sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, projek pembangunan semula pasar di atas tapak sedia ada itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM70.03 juta.

Menurutnya, projek pembangunan semula tersebut amat penting memandangkan keadaan Pasar Payang yang uzur selain berusia lebih 50 tahun.

"Projek Pasar Payang yang baharu ini lebih mesra peniaga, mesra pengguna, tidak kira warga emas, golongan ibu, kanak-kanak serta mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Kerja-kerja pembinaan semula Pasar Payang ini melibatkan pembinaan bangunan dua tingkat bagi menempatkan 412 lot kedai, 369 petak jualan, tandas, tandas OKU, eskalator, bilik persalinan bayi, lif, surau, infrastruktur seperti jalan masuk, tempat letak kenderaan, lampu jalan dan landskap.

Artikel Berkaitan:

"Tidak lupa juga menara jam yang pernah menjadi mercu tanda Pasar Kedai Payang satu ketika dahulu turut dibina semula memandang ia begitu sinonim dengan penduduk Terengganu," jelasnya.

Justeru, Kor Ming berharap Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dapat menjaga projek ikonik tersebut dengan sebaik mungkin serta menjadikan Pasar Payang sebagai salah satu pasar yang terbaik di Malaysia.

Fasa pertama projek ini bermula pada 1 Ogos 2017 dengan pembinaan pasar sementara atau dikenali sebagai Pasar Payang 2 yang terletak kira-kira 80 meter dari tapak asal dan telah siap pada Mei 2019.

Pasar Payang 1 pula bemula dibina pada Ogos 2019 dan siap sepenuhnya pada 19 Julai 2023.