Masalah tunggakan gaji Kedah serius

MFL boleh ambil tindakan punitif seperti pemotongan mata dan menolak lesen kebangsaan untuk KDA FC bersaing dalam Liga Super sekiranya masalah tunggakan gaji berterusan.
MFL boleh ambil tindakan punitif seperti pemotongan mata dan menolak lesen kebangsaan untuk KDA FC bersaing dalam Liga Super sekiranya masalah tunggakan gaji berterusan.
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menyifatkan masalah tunggakan gaji yang sedang dihadapi oleh pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC agak serius.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, KDA FC perlu melunaskan pembayaran yang besar kepada pemain dan pegawai berdasarkan tempoh bulan tunggakan.

“Saya tidak mahu buat spekulasi atau andaian Kedah akan digugurkan (daripada saingan Liga Super).

"Tetapi ini (masalah tunggakan gaji) mereka sudah sampai satu tahap yang agak serius.

“Ia bukan perkara yang MFL boleh memberikan lanjutan masa sewenang-wenangnya disebabkan kita tahu jumlah bulan tunggakan gaji itu agak banyak.

“Kita perlu melihat kepada kelangsungan liga juga bukan untuk kelangsungan satu pasukan sahaja.

"MFL juga perlu membuat keputusan sama ada perlu slot tambahan selain daripada satu slot untuk menggantikan Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, KDA FC menerusi satu kenyataan menjelaskan pengurusan KDA FC diketuai Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah mendapat kelulusan pembiayaan dana daripada institusi tertentu untuk tujuan penyelesaian tunggakan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Namun, dana tersebut hanya akan ditunaikan seawal bulan April.

KDA FC dilaporkan berhutang gaji pemain untuk empat bulan sejak musim lepas.

Menurut Stuart, badan pengelola liga itu juga telah meminta makluman tambahan daripada KDA FC untuk melihat kemampuan pasukan itu yang akan dibentangkan dalam mesyuarat MFL pada 6 Mac.

“Semua perkara ini kita telah berhubung dengan Kedah dan mereka memahami isu semasa ini.

“Kami akan maklumkan status Kedah selepas makluman tambahan diterima dan sekiranya maklumat tersebut memuaskan kepada First Instance Body (FIB) dan lembaga pengarah MFL,” katanya.

Dalam pada itu, Stuart turut memaklumkan situasi tunggakan gaji yang dihadapi satu lagi pasukan iaitu Kuala Lumpur (KL) City tidak terlalu serius.

“KL City tidak begitu serius dan kita telah dapat makluman daripada mereka bahawa mereka sedang menyelesaikan masalah tersebut.

“Perkara ini juga akan dibawa ke FIB untuk pertimbangan tetapi tidak seserius yang kita nampak,” katanya.

Sementara itu, Stuart berkata, sesi temu duga antara FIB dengan wakil empat kelab Liga Bolasepak Amatur (AFL) M3 yang memohon lesen luar biasa bagi menyertai saingan Liga Super 2024-2025 yang dijadual bermula 10 Mei ini, dipinda dari minggu ini kepada Isnin (4 Mac) susulan kekangan masa.

MFL membuka semula permohonan lesen luar biasa kepada kelab M3 pada Januari lepas susulan keputusan FIB dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025 ini susulan masalah kewangan.

MFL akan memilih hanya satu kelab terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk mengisi slot ke-14 selepas ketiadaan Kelantan FC.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28