Kekejaman Israel di Gaza, jenayah kemanusiaan dahsyat

Ahmad Fahmi (tengah) ketika sidang akhbar selepas penyerahan memorandum bantahan dan teguran tegas berhubung berhubung tragedi kemanusiaan Gaza bertempat di kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak di sini pada Jumaat.
Ahmad Fahmi (tengah) ketika sidang akhbar selepas penyerahan memorandum bantahan dan teguran tegas berhubung berhubung tragedi kemanusiaan Gaza bertempat di kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Israel berterusan menyerang serta melakukan pembantaian terhadap rakyat Palestin disifatkan sebagai jenayah kemanusiaan dahsyat abad ini.

Wakil Jawatankuasa Bertindak Belia Malaysia Memerdekakan Palestin, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, tindakan rejim itu sebagai satu perkara yang tidak dapat diterima norma manusia waras.

Beliau berkata, peperangan ini menyaksikan tindakan rejim Zionis ini yang tidak lagi berselindung dalam melakukan pembunuhan terhadap rakyat Palestin.

"Perbuatan ini amat kejam apabila melibatkan kematian mencecah 30,000 orang merangkumi lebih 12,300 orang kanak-kanak dan 8,400 orang wanita.

"Bukan itu sahaja, malahan keganasan Israel turut menyaksikan lebih 70,000 orang tidak mendapat rawatan sempurna serta terdedah kepada wabak penyakit dan terjejas teruk akibat kelaparan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penyerahan memorandum bantahan dan teguran tegas berhubung berhubung tragedi kemanusiaan Gaza bertempat di kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak di sini pada Jumaat.

Katanya, angka dicatatkan itu belum termasuk mereka yang hilang dan tidak dijumpai dan mangsa-mangsa tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

"Perang genosid Israel ke atas Gaza yang telah melepasi hari ke-145 ini merupakan suatu tanda kemunafikan para pemimpin dunia khasnya blok Barat dan sekutu-sekutunya terus menerus mempertahankan tindakan zalim itu.

Artikel Berkaitan:

"Mereka sebenarnya bersekutu dengan penjenayah dan wajar diheret ke muka pengadilan bersama pimpinan Zionis Israel," katanya.

Menurutnya, kezaliman Israel perlu segera dihentikan terutamanya apabila menjelang Ramadan ini.

Ahmad Fahmi (tengah) bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas sesi penyerahan memorandum kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak pada Jumaat.
Ahmad Fahmi (tengah) bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas sesi penyerahan memorandum kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak pada Jumaat.

"Penderitaan yang dialami rakyat Palestin ini perlu ada pengakhirannya, kita minta pihak barat terutamanya Amerika Syarikat agar segera menghentikan bantuan senjata kepada Israel agar kekejaman ini tidak berterusan.

"Ramadan ini diharap menjadi detik untuk mereka dapat melakukan ibadah dengan tenang tanpa sebarang peperangan," katanya.

Jelas beliau yang juga merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, resolusi demi resolusi yang diluluskan di forum antarabangsa di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tidak mampu menghentikan tindakan pembunuhan ini.

"Lebih mendukacitakan perlecehan rejim Zionis Israel terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) 26 Januari lalu jelas menunjukkan betapa biadabnya mereka.

"Kami mengesyorkan agar PBB menghantar pasukan pengaman ke Gaza bagi memastikan gencatan senjata dilakukan segera dan genosid dihentikan serta-merta, seterusnya mengheret penjenayah dunia ke muka pengadilan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas berkaitan Himpunan Mega Rakyat Demi Palestin, Sabtu ini, beliau berkata, semua warga Malaysia tanpa mengira kedudukan diseru untuk bersama hadir bagi meluahkan rasa cinta terhadap Palestin.

"Kami seru semua bukan sahaja rakyat malahan pimpinan hatta kerabat raja sekali pun, mari bersama kita meluahkan kecaman terhadap kekejaman Israel ini.

"Himpunan ini dijangka bermula kira-kira jam 2 petang di Masjid Tabung Haji dan seterusnya akan berarak ke Padang Merbok, Kuala Lumpur," katanya.