Dua termasuk banduan didakwa anggotai Geng Upik

Tertuduh yang didakwa menganggotai Geng Upik dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu untuk sebutan kes.
Tertuduh yang didakwa menganggotai Geng Upik dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu untuk sebutan kes.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua lagi individu termasuk seorang banduan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu di sini pada Jumaat atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai 'Geng Upik'.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepada Norsyafilah Pawawoi, 28, dan Zulkahar Dusing, 29, di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Dalam pertuduhan, Norsyafilah antara tahun 2015 dan 28 Julai 2016, di Kota Kinabalu didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik.

Sementara itu, Zulkahar antara tahun 2021 dan 3 Mei 2023, di Kota Kinabalu telah didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik.

Kedua-dua tertuduh didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen

130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika disabitkan dengan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.

Norsyafilah kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun sejak 2016 atas kesalahan Seksyen didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala Zulkahar sedang dalam tahanan reman di Penjara Tawau untuk kes di bawah Seksyen 39B akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian telah menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes terhadap kedua-dua tertuduh bersama 11 lagi tertuduh lain membabitkan Geng Upik.

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail dan Siti Hajar Mat Radzi.

Sebelum itu, dalam mahkamah sama Siti Hajar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya belum bersedia untuk penyerahan dokumen untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi dan memohon untuk menetapkan semula tarikh pada 14 April ke atas.

Bagaimanapun, kesemua peguam yang mewakili sembilan tertuduh tidak bersetuju dengan tarikh yang dimohon pihak pendakwaan itu dan mahu tarikh penetapan semula kes dipercepatkan.

Dalam prosiding tersebut, empat tertuduh yang sebelum ini tidak diwakili peguam telah diwakili peguam masing-masing iaitu Mahathir Jibarail, 49, diwakili Shahlan Jufri dan Mohd Lokman Zabidi manakala Datuk Maslan Sani, 41, diwakili Chin Tek Ming.

Selain itu, Nelson Abraham, 35, diwakili Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala Mazlan Mahmud, 49, diwakili Sylyester Kuan.

Setakat ini hanya dua tertuduh iaitu Rahman Burijin, 44 dan Alkan Abraham, 35, masing-masing diwakili peguam.

Lima lagi tertuduh lain iaitu Jaysalfian Jaineh@Zaini, 45, diwakili peguamnya, Mohd Amirul Amin; Mohd Fauzie Rablin, 33, diwakili peguam, Sylyester manakala Shahlan Shah Abdul Samad, 37, dan Mohd Faridzul Asmahadi, 31, diwakili peguam mereka Shahlan dan Mohd Lokman.

Fazrul Bahar, 32, yang sebelum ini diwakili Shahlan dan Mohd Lokman kini telah diwakili peguamnya, Tek Ming.