Pengarah syarikat, dua kru kapal didakwa seleweng diesel

Tertuduh ketika diiringi pegawai KPDN sebaik tiba di pekarangan mahkamah.
Tertuduh ketika diiringi pegawai KPDN sebaik tiba di pekarangan mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pengarah syarikat dan dua kru kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis atas pertuduhan berkaitan urus niaga borong minyak diesel tanpa lesen pada minggu lalu.

Tertuduh, Pengarah syarikat KIJ Global Sdn Bhd, Nazrulkamal Mohammad, 41, dan dua kru iaitu Wong Chew Yuan, 61, serta warga Indonesia, Warsito, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Bagi pertuduhan terhadap Chew Yuan dan Warsito, mereka secara bersama didapati telah ada dalam kawalan iaitu barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu diesel sebanyak 36,654 liter dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Ia berkaitan berurusan dengan diesel secara borong tanpa lesen yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu dilakukan pada jam 9 pagi di sebuah jeti di Bengkel Kampung Tanjung Agas, Pekan Pasir Panjang, Port Dickson pada 10 November lepas.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Nazrulkamal bersama dua lagi pengarah syarikat yang masih bebas turut dituduh di bawah seksyen sama atas kesalahan sama pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

Dalam pada itu, syarikat KIJ Global Sdn Bhd pula dituduh di bawah Seksyen 22(2) akta yang sama di atas kesalahan yang sama di mana boleh dihukum denda tidak melebihi RM2 juta, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sophian Zakaria dan Nor Alimah Mohd Sanusi, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang terhadap Chew Yuan dan Warsito dengan seorang penjamin, manakala Nazrulkamal diberi jamin sebanyak RM25,000.

Mahkamah seterusnya menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.