Polis kenal pasti seorang lagi individu berkait aset 1MDB

Ramli (tengah) mengadakan sidang akhbar mengenai situasi semasa jenayah komersial pada Khamis. - Foto ROSLI TALIB.
Ramli (tengah) mengadakan sidang akhbar mengenai situasi semasa jenayah komersial pada Khamis. - Foto ROSLI TALIB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap bekas Pengurus Bank Goldmans Sachs, Roger Ng membantu polis mengenal pasti seorang lagi individu berada di luar negara yang dikaitkan dengan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Nilai aset yang dimiliki individu terbaharu itu dianggarkan membabitkan nilai jutaan ringgit yang sedang disiasat oleh polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penemuan positif itu rentetan siasatan yang dilakukan terhadap Roger ke arah usaha melakukan pemulihan aset 1MDB yang berada dalam dan luar negara.

"Bagaimanapun, identiti individu itu tidak boleh didedahkan buat masa ini kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.

Ramli berkata, usaha menjejaki untuk mengembalikan aset-aset berkenaan tidak semestinya melibatkan Roger sahaja sebaliknya terdapat seorang lagi individu lain yang berjaya dikenalpasti.

"Aset ini tidak semestinya berada di Malaysia dan boleh jadi berada di luar negara," katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, siasatan terhadap Roger masih lagi diteruskan dan tumpuan akan diberikan kepada pemulihan aset berkenaan.

“Roger masih lagi dalam tahanan pihak polis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 10 Oktober lalu, siasatan PDRM terhadap Roger memfokus kepada modus operandi berkaitan penjualan bon dipercayai dana 1MDB.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti aset-aset dimiliki Roger dipercayai daripada dana 1MDB.

Polis percaya dan yakin soal siasat terhadap lelaki berusia 51 tahun itu akan membawa kepada maklumat berkaitan penglibatan suspek lain termasuk suspek utama Low Taek Jho atau Jho Low.

PDRM juga melihat apa modus operasi digunakan, macam mana bon-bon dijual serta berapa komisen yang ada.

Pada 19 Disember 2018, Roger mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini, antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013.

Roger ditahan pada 9 Oktober lalu selepas tiba dari Amerika Syarikat (AS) dan siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!