Kastam rampas kain sarung import bernilai RM1.64 juta

Mohd Nasir (tiga dari kiri) menunjukkan kain sarung yang berjaya dirampas kastam di sebuah gudang di Jalan Kolombong, Kota Kinabalu.
Mohd Nasir (tiga dari kiri) menunjukkan kain sarung yang berjaya dirampas kastam di sebuah gudang di Jalan Kolombong, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah merampas kain sarung import bernilai hampir RM1.64 juta dalam satu serbuan di sebuah gudang di Jalan Kolombong di sini pada bulan lalu.

Kain sarung diisi dalam 439 guni yang diimport masuk dari China itu dirampas oleh Pasukan Tempur Operasi Medan JKDM (Cobra) selepas didapati ia diisytiharkan sebagai barang lain dalam borang kastam.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, dalam serbuan 5 Januari kira-kira jam 5 petang itu, penguat kuasa menemui guni yang mengandungi kain sarung disyaki tertakluk dengan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

"Pemeriksaan lanjut menemui 175,600 helai kain sarung pelbagai corak yang melibatkan cukai jualan dianggarkan lebih RM163,000.

"Semasa serbuan itu juga, seorang wanita warga China berusia 30 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah di sini pada Khamis.

Antara kain sarung yang dirampas kastam di sebuah gudang di Jalan Kolombong, Kota Kinabalu.
Antara kain sarung yang dirampas kastam di sebuah gudang di Jalan Kolombong, Kota Kinabalu.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati modus operandi penyeludup ialah dengan menggunakan kod tarif yang lain dan deskripsi barang tidak betul dalam borang kastam 1.

"Pengimport membuat pengiktirafan tidak benar atau tidak tepat yang diikrarkan sebagai 'Garment Fabrics' tetapi yang dibawa masuk adalah kain sarung berserta tarif kod yang tidak tepat.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kod yang sebenar tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), maksudnya semasa mengimport kain sarung ini tidak boleh dilepaskan sekiranya tidak disertakan permit tersebut.

"Barang ini diimport melalui kontena dan pada jangkaan kami, barang seperti ini untuk pasaran tempatan di Sabah," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nasir berkata, kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan.

"Pesalah juga boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28