[VIDEO] Khyala alami kegagalan fungsi hati, perlu pembedahan di China

A
A
A

SEREMBAN - Luluh hati seorang ibu apabila mengetahui anak bongsunya disahkan menghidap Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati selepas lima hari dilahirkan.

Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham yang kini berusia setahun enam bulan pernah melakukan Kasai Procedure sebagai kaedah pertama iaitu pembedahan membuang duktus hempedu yang rosak dan penyambungan bahagian usus terus ke hati supaya hempedu dapat mengalir dari hati terus ke usus.

Ibunya, Noreen Ismail, 35, berkata, pembedahan itu dilakukan bagi mengelakkan hati anaknya menjadi lebih teruk.

"Bermula pada saat itu Khayla perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur dan keadaan perutnya semakin membesar, kesihatannya tidak begitu baik selain matanya menjadi kekuningan.

Khayla perlu melakukan pembedahan segera di China.
Khayla perlu melakukan pembedahan segera di China.

"Ketika mengetahui Khayla ada masalah hati, ALLAH sahajalah yang tahu perasaan ketika itu tambahan saya dalam tempoh berpantang, tetapi keluarga banyak beri sokongan membuatkan kami kuat dan reda dengan ujian ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Senawang pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, ALLAH yang menentukan segalanya, anak kesayangannya itu tidak boleh bertahan hingga dewasa dan memerlukan pemindahan hati dengan kadar segera.

"Justeru, kami dengan sokongan daripada pihak doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sepakat bahawa Khayla akan melakukan pemindahan hati di Hospital Renji, China.

Artikel Berkaitan:

Keadaan perut Khayla akibat kegagalan fungsi hati.
Keadaan perut Khayla akibat kegagalan fungsi hati.

"Kos yang diperlukan untuk Khayla adalah sebanyak RM250,000. Kami seboleh-bolehnya mahu pembedahan dapat segera dijalankan bagi memastikan kesihatan Khayla menjadi lebih baik, namun apakan daya kos pembedahan terlalu besar," katanya.

Ujar Noreen, sekiranya kos berkenaan berjaya diperoleh, Khayla dijangka ke negara berkenaan pada April ini.

"Sebelum ke sana Khayla perlu menjalani rawatan di PPUM untuk 'nutritional rehab' iaitu menaikkan berat badan Khayla termasuklah rawatan berkaitan," katanya.

Noreen dan suaminya, Mohamed Khairul Idhham Khairuddin. melihat surat mengenai penyakit Khayla.
Noreen dan suaminya, Mohamed Khairul Idhham Khairuddin. melihat surat mengenai penyakit Khayla.

Sehubungan itu, Noreen memohon bantuan daripada rakyat Malaysia untuk membantu mencukupkan dana bagi memudahkan urusan rawatan Khayla.

"Semoga dengan ihsan daripada semua, dapat membantu sebahagian atau keseluruhan kos rawatan transplant hati Nur Khayla Azzahra. Semoga jasa daripada semua pihak ALLAH balas dengan sebaik-baiknya," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang dan mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Noreen di talian 018-3705480 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 569963044145, atas nama suaminya, Mohamed Khairul Idhham Khairuddin.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28