Makkiahferry 'berbaju kelawar' hasil video hiburkan wanita

Fatin Farhana dalam pembikinan video TikTok Makkiahferry.
Fatin Farhana dalam pembikinan video TikTok Makkiahferry.
A
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan video dipaparkan di aplikasi TikTok Makkiahferry yang mengenakan pakaian 'baju kelawar' berjaya menghiburkan ramai pengguna media sosial.

Mana tidaknya, banyak video yang dimuat naik di laman itu mendapat ratusan ribu tontonan.

Pemilik laman TikTok Makkiahferry, Fatin Farhana Md Fajaruddin, 34, berkata, tujuan utama video-video itu dibuat dengan penampilan sedemikian adalah untuk menghiburkan kaum wanita.

"Saya hanya hendak gembirakan wanita, mereka yang bekerja mahupun suri rumah sentiasa ada yang mengalami tekanan setiap hari.

"Sekurang-kurangnya tekanan mereka berkurangan.

"Sungguh saya cakap apabila mendapat komen pengikut yang sedang sedih, rendah diri, murung dan pelbagai masalah tersenyum menonton video tersebut, ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghasilkan kandungan seterusnya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Fatin Farhana memberitahu tujuan utama video-video itu dibuat adalah untuk menghiburkan kaum wanita.
Fatin Farhana memberitahu tujuan utama video-video itu dibuat adalah untuk menghiburkan kaum wanita.

Artikel Berkaitan:

Bertanya mengenai proses pembikinan video, jelas Fatin Farhana, semua itu hanya dihasilkannya sendiri secara spontan.

Ujarnya yang sudah memiliki lebih beratus-ratus helai kaftan, apa-apa yang berlaku di hadapan mata beliau akan cuba sehabis baik untuk dijadikan kandungan video.

"Kadang-kadang untuk iklan berbayar pun saya buat tanpa jadual atau papan cerita, saya suka datang duhulu baru ada idea namun ia perlu datang daripada emosi yang gembira.

"Selain itu, orang-orang sekeliling juga membuatkan saya sentiasa positif dan bersemangat serta lebih kreatif untuk berkarya dalam video," ujarnya.

Fatin Farhana dalam salah satu pembikinan video TikTok Makkiahferry.
Fatin Farhana dalam salah satu pembikinan video TikTok Makkiahferry.

Menurutnya, Makkiahferry juga membuka rezeki kepadanya terutama dalam bidang kerjaya hakiki.

Kata Fatin Farhana, selepas banyak video menjadi tular, majikannya menawarkan satu jawatan baharu bagi mengembangkan potensi dan kreativiti.

"Sebelum memegang jawatan penerbit ini, 10 tahun saya bekerja dalam bidang kejuruteraan.

"Alhamdulillah, ia merupakan rezeki yang tak disangka-sangka.

"Saya harap kepada semua wanita di luar sana agar teruskan semangat diri, tiada siapa yang boleh tolong kita kecuali diri sendiri.

"Percayalah kepada diri sendiri.

"Percaya yang kita boleh lakukan dalam apa jua yang mendatang," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28