Tiada hujan direkodkan selepas dua operasi pembenihan awan di Pulau Pinang

Kapasiti efektif Empangan Air Itam pada Khamis adalah 37 peratus.
Kapasiti efektif Empangan Air Itam pada Khamis adalah 37 peratus.
A
A
A

GEORGE TOWN - Dua operasi pembenihan awan di atas kawasan tadahan air (KTA) di Pulau Pinang iaitu di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang telah dijalankan, namun tiada sebarang hujan direkodkan semasa atau selepas operasi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, operasi berkenaan telah dijalankan oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 27 dan 28 Februari.

Menurutnya, oleh kerana tiada hujan direkodkan, operasi pembenihan awan tersebut tidak akan meningkatkan kapasiti efektif kedua-dua empangan berkenaan.

"Hal ini berlaku berkemungkinan kerana faktor keadaan atmosfera dan awan yang tidak begitu menggalakkan. Pembenihan awan biasanya boleh merangsang lebih banyak hujan jika terdapat awan hujan pada ketinggian tertentu.

"Jika tiada awan, awan tidak mencukupi atau jika suhu udara terlalu tinggi untuk titisan air terbentuk di awan dan jatuh, pembenihan awan mungkin tidak merangsangkan sebarang hujan.

Dua operasi pembenihan awan di atas KTA Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dijalankan pada 27 dan 28 Februari namun tiada hujan direkodkan.
Dua operasi pembenihan awan di atas KTA Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dijalankan pada 27 dan 28 Februari namun tiada hujan direkodkan.

"Pada 8 Februari lalu, PBAPP memohon pembenihan awan pada Mac ini iaitu semasa musim antara monsun, apabila awan hujan sepatutnya berleluasa di atas langit di Pulau Pinang. Justeru, PBAPP berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menugaskan TUDM untuk menjalankan operasi pembenihan awan tambahan di Pulau Pinang pada bulan depan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kata beliau, sehingga Khamis, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam mencatatkan 37 peratus manakala Empangan Teluk Bahang, 79.1 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Pada 1 Januari lalu, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam adalah 68.9 peratus berbanding 37 peratus yang dicatatkan pada hari ini. Perbezaan peratusan adalah 31.9 peratus.

"Bagi Empangan Teluk Bahang pula, kapasiti efektif pada 1 Januari adalah 95.4 peratus berbanding hari ini iaitu 79.1 peratus. Ia menunjukkan perbezaan sebanyak 16.3 peratus," katanya lagi.

Pathmanathan berkata, kapasiti efektif maksimum Empangan Air Itam ialah 2,160 juta liter (ML) manakala Empangan Teluk Bahang, 18,240 ML.

Operasi pembenihan awan dijalankan oleh pesawat TUDM.
Operasi pembenihan awan dijalankan oleh pesawat TUDM.

"Dari segi isipadu air, penurunan sebanyak 1 peratus dalam kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang (182.4 ML) secara kasarnya bersamaan dengan penurunan 8.4 peratus dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam.

"Kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah pada 5 Februari lalu namun ia telah meningkat sebanyak 4.2 peratus menjadikannya daripada 32.8 peratus kepada 37 peratus pada hari ini.

"Walaupun terdapat hanya 45 milimeter (mm) hujan di KTA Empangan Air Itam dan cuaca panas, peningkatan ini adalah kerana pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024)," katanya.

Jelasnya, di bawah AIDAP 2024, PBAPP telah mengurangkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam sebanyak 75 peratus.

"Sehubungan itu, pengeluaran air terawat Loji Rawatan Air (LRA) Empangan Air Itam juga telah menurun sebanyak 66 peratus. Bagi memastikan bekalan air mencukupi di Air Itam, PBAPP mengepam 33 juta liter air terawat sehari (JLH) dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam.

"Kejayaan AIDAP 2024 dalam mempertahankan Empangan Air Itam sehingga musim hujan berikutnya bergantung kepada tiga faktor utama iaitu ketersediaan air terawat yang mencukupi dari LRA Sungai Dua dan air mentah dari Sungai Muda di Seberang Perai.

"Selain itu, faktor aliran masuk air mentah yang mencukupi ke lima muka sauk air mentah bagi Empangan Air Itam dan LRA Air Itam di Pulau Pinang," katanya.

Tambah Pathmanathan, faktor ketiga adalah penggunaan air secara berhemat oleh 30,000 pengguna air di kawasan perkhidmatan bekalan air Air Itam.