Kerajaan lulus 510 projek bernilai RM4.7 bilion di Johor

Anwar dan Onn Hafiz pada Mesyuarat Pembangunan Negeri Johor yang dihadiri kerajaan Johor dan 12 menteri Kabinet di Putrajaya pada Rabu.
Anwar dan Onn Hafiz pada Mesyuarat Pembangunan Negeri Johor yang dihadiri kerajaan Johor dan 12 menteri Kabinet di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan meluluskan 510 projek bernilai RM4.7 bilion untuk dilaksanakan di Johor pada tahun ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan besar untuk Johor itu berikutan kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan mahu meningkatkan ekonomi negara, selain melihat potensi Johor mampu menjadi sebuah hab ekonomi baharu.

Menurut beliau, komitmen itu dizahirkan ketika delegasi kerajaan Johor menghadiri Mesyuarat Pembangunan Negeri Johor yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dihadiri 12 menteri Kabinet pada Rabu.

Onn Hafiz berkata, mesyuarat seumpama itu merupakan kali pertama dibuat melibatkan kerajaan negeri dengan 13 kementerian berkaitan, dengan memfokuskan koordinasi secara menyeluruh untuk projek-projek pembangunan yang berimpak tinggi di Johor.

Beliau memberitahu, terdapat tujuh inisiatif dan projek pembangunan berimpak tinggi dibawa untuk perhatian mesyuarat membabitkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City dan Projek Naik Taraf Lebuh Raya.

Anwar mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Negeri Johor yang dihadiri kerajaan Johor dan 12 menteri Kabinet di Putrajaya pada Rabu.
Anwar mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Negeri Johor yang dihadiri kerajaan Johor dan 12 menteri Kabinet di Putrajaya pada Rabu.

"Selain itu, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB); kerja menaik taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan pembinaan HSA2; kerja menaik taraf Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) diperincikan.

"Turut dibincangkan adalah cadangan Projek Penyuraian Trafik dan naik taraf pengangkutan awam Bandaraya Johor Bahru serta Projek Bekalan Air Johor, turut mendapat perhatian serius.

Artikel Berkaitan:

"Mesyuarat bersetuju supaya ketujuh-tujuh projek ini perlu disiapkan secepat mungkin, selain kementerian berkaitan serta kerajaan negeri akan melakukan pemantauan secara berkala," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada malam Rabu.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan Johor bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan besar untuk pelbagai projek pembangunan Johor tahun ini.

"Jutaan penghargaan juga kepada menteri-menteri Kabinet yang sebelum ini kerap turun padang ke Johor bagi melihat sendiri keadaan di sini bagi pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28