Kebakaran belukar di Australia kembali marak

Pasukan bomba meningkatkan usaha mengawal kebakaran selepas suhu menurun sejak beberapa hari lalu. - Foto AFP
Pasukan bomba meningkatkan usaha mengawal kebakaran selepas suhu menurun sejak beberapa hari lalu. - Foto AFP
A
A
A

SYDNEY - Penduduk di laluan kebakaran belukar yang telah memusnahkan tenggara Australia sejak September lalu digesa untuk berpindah sekali lagi hari ini berikutan suhu panas dan keadaan berangin dikhuatiri menyebabkan api semakin marak.

Perkhidmatan Bomba Luar Bandar di New South Wales mengeluarkan amaran tersebut kepada komuniti pesisir pantai di selatan Sydney.

Selain itu, notis peringkat bencana di sebahagian besar negeri Victoria yang dikeluarkan sejak minggu lalu telah dilanjutkan kepada 48 jam, malah mereka yang berada di zon bahaya turut dinasihatkan untuk meninggalkan kawasan tersebut.

"Jangan hanya berpuas hati dengan hujan yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini," kata Menteri Perkhidmatan Kecemasan Victoria, Lisa Neville merujuk kepada suhu menurun beberapa hari lalu yang membolehkan pasukan bomba mengawal kebakaran tersebut.

Kebakaran belukar yang dahsyat di tenggara Australia yang telah meragut 26 nyawa sejak September lalu telah memusnahkan lebih 2,000 rumah dan juga menyebabkan bandar besar di negara itu diselubungi asap tebal didakwa berpunca daripada perubahan iklim.

Menerusi laporan iklim tahunan dikeluarkan Biro Meteorologi Australia memaklumkan 2019 merupakan tahun paling panas dan kering dengan rekod suhu 1.52 darjah Celsius di atas purata manakala taburan hujan adalah 277.6 milimeter iaitu 40 peratus di bawah purata.

Sebelum ini, rekod suhu paling rendah direkodkan pada 1902.

Dalam perkembangan lain, New South Wales sebagai respons terhadap krisis itu mengumumkan dana tambahan A$1 bilion (RM2.8 bilion) bagi usaha pengurusan dan pemulihan kawasan terjejas untuk tempoh dua tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

Semalam, ahli ekologi di Universiti Sydney menggandakan anggaran jumlah haiwan yang mati atau cedera dalam kebakaran itu kepada satu bilion. - Agensi