Penduduk kampung dibayar jadi tonto peneroka haram

Kok Lim ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan DUN Perak pada Rabu.
Kok Lim ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan DUN Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Peneroka haram menggajikan penduduk setempat untuk menjadi 'mata dan telinga', antara cabaran yang dihadapi pegawai penguat kuasa dalam menangani isu perlombongan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Perak, Teh Kok Lim berkata, taktik itu dikesan digunakan sekiranya terdapat pegawai penguat kuasa Jabatan Perhutanan menghampiri kawasan pencerobohan bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.

Menurutnya, kebiasaannya kawasan HSK yang diteroka berada agak jauh ke dalam hutan dan dengan kawasan yang sangat sunyi itu, peneroka haram boleh mengetahui kehadiran pegawai penguat kuasa.

"Lombong haram diusahakan adalah di bawah kanopi hutan selain tebangan pokok yang sangat minimal dan penggunaan bahan penyamaran (camouflage) memberi kesukaran pasukan penguat kuasa untuk mengesan aktiviti tersebut.

"Malah penggunaan alat komunikasi yang canggih menjadikan kumpulan peneroka haram yang duduk jauh di dalam hutan ini, boleh berkomunikasi dengan ‘perisik’ di luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong itu berkata, bagi menangani cabaran itu, Jabatan Perhutanan Negeri telah bekerjasama dengan polis menjalankan pelbagai kaedah risikan dan intipan seperti penyamaran, tinjauan udara dengan menggunakan helikopter, penderiaan jauh (remote sensing) dan dron.

Katanya, risikan yang dijalankan selama tiga bulan itu mendatangkan hasil dengan tangkapan ke atas pekerja-pekerja yang disyaki menjalankan aktiviti lombong haram ini.

Artikel Berkaitan:

"Pada 8 Disember lepas, pasukan operasi ini membuat serbuan ke atas lokasi yang disyaki dan seramai 27 suspek terdiri daripada 18 pekerja asing iaitu warga China (15 orang) dan Myanmar (3) serta sembilan warga tempatan termasuk empat daripadanya orang asli ditahan di dalam kawasan HSK.

"Hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai permit memasuki HSK dan tiada permit penggunaan bagi aktiviti mencari gali yang sah di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mendapati lombong haram yang diterokai itu melibatkan keluasan lebih 20 hektar.

Bagaimanapun ujarnya, Jabatan Mineral dan Galian (JMG) yang turut sama membantu di dalam operasi mengesahkan bahawa kerja-kerja pengeluaran mineral di kawasan tersebut masih belum lagi dijalankan.

"Sekitar kawasan teroka, semua peralatan dan jentera yang dijumpai di kawasan tersebut telah disita dan dirampas termasuk lubang-lubang boring yang telah digali seluas lebih kurang 1.47 hektar.

"Kes ini masih dalam siasatan dan pertuduhan akan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 32, 47, 81(1)(b) dan 81(1)(d) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313)," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, Sultan Nazrin menitahkan perbuatan ‘harapkan pegar, pegar makan padi' dalam kalangan pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan peneroka haram NR-REE dikenakan tindakan tegas.

Baginda bertitah, pencerobohan dan operasi secara haram ini hanya akan menyebabkan ketirisan hasil negeri selain berlakunya aktiviti perlombongan tidak terkawal yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan masyarakat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28