Cuaca panas: Pemaju tapak kuari perlu patuh SOP elak pencemaran udara

Kerajaan Negeri Sembilan memberi amaran kepada pemaju tapak kuari agar mematuhi prosedur operasi SOP kerja-kerja kuari yang ditetapkan sekali gus mengelakkan berlaku pencemaran udara. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Aminuddin Harun)
Kerajaan Negeri Sembilan memberi amaran kepada pemaju tapak kuari agar mematuhi prosedur operasi SOP kerja-kerja kuari yang ditetapkan sekali gus mengelakkan berlaku pencemaran udara. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Aminuddin Harun)
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memberi amaran kepada pemaju tapak kuari agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerja-kerja kuari ditetapkan sekali gus mengelakkan berlaku pencemaran udara.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar(JAS) dan Pejabat Daerah untuk kerap melakukan pemantauan di 18 tapak kuari di negeri ini.

Menurutnya, ia berikutan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini boleh memberi kesan kepada keadaan persekitaran sekiranya aktiviti tersebut tidak dilaksanakan dengan baik.

"Saya nak ingatkan pemilik kuari khususnya di Seremban dan Nilai supaya jaga persekitaran dan saya tidak mahu lihat habuk bertebaran di udara.

"Sekarang musim panas dan kering, saya tidak mahu ia mengganggu indeks udara di negeri ini dan jadi penyumbang kepada pencemaran udara pula," katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, peringatan sama turut diberi kepada pihak yang sedang melakukan kerja-kerja tanah.

Tegasnya, jika mereka ingkar dengan arahan diberi, tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil.

"Ini pernah berlaku dua minggu lepas ketika cuaca kering, kita nampak habuk berterbangan di udara di kawasan itu (kuari) dan nasihat telah pun diberi.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan nasihat terakhir dan jika mereka buat lagi, saya minta JAS dan Pejabat Daerah saman serta ambil tindakan tegas, jika perlu diarahkan menutup operasi," katanya.

Aminuddin berkata, beliau bertegas dalam soal itu kerana ia boleh mengganggu persekitaran alam sekitar dan menjejaskan kesihatan orang ramai.

"Mereka perlu kontrol habuk dengan menyiram air di atas jalan dan pastikan aktiviti pecah batu dilakukan pada waktu yang sesuai. Mereka sebenarnya ada SOP sendiri," katanya.