Perak teruskan Jelajah Komunikasi kekang jenayah scammer

Mohd Azlan ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.
Mohd Azlan ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Perak meneruskan inisiatif Jelajah Komunikasi di seluruh negeri sebagai usaha mencegah lebih ramai rakyat menjadi mangsa kepada sindiket penipuan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, kesinambungan program tahun lalu itu penting mengambil kira peningkatan jumlah mangsa penipuan terutamanya melibatkan jenayah dalam talian.

Menurutnya, menerusi jelajah itu, orang ramai diberi pengetahuan terhadap senario terkini jenayah scammer bertujuan mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan serta perlindungan di internet.

"Jelajah ini turut disertai agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Digital Perak, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Stratcom, Telekom Malaysia dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

"Sehingga Februari ini kita telah melawat empat kawasan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang, Slim, Manong dan Bukit Chandan," katanya ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Mohd Azlan mendedahkan, terdapat pelbagai jenis scammer wujud antaranya Phone Scam, Phising, Love Scam dan Jenayah E-Dagang yang menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai penguat kuasa, institusi kewangan atau syarikat perkhidmatan.

"Panggilan ini dengan tujuan dan pelbagai alasan untuk meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan atau memindahkan wang.

"Bagi sindiket Phising pula merupakan kaedah mendapatkan maklumat peribadi seperti perbankan orang lain melalui laman web palsu yang menyerupai laman web asal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau meminta orang awam berhati-hati mengakses ke laman jual beli dalam talian, permainan siber dan perbankan dalam talian menggunakan internet percuma di kawasan umum seperti restoran, pasar raya dan lapangan terbang.

Katanya, suasana itu hanya memberi ruang dan peluang kepada scammer untuk lebih mudah menjalankan tugas mereka.

"Walaupun jurutera keselamatan komputer berusaha meningkatkan tahap keselamatan komunikasi dalam talian pada setiap peranti dan media sosial, sindiket tetap berleluasa jika tiada kesedaran daripada pengguna," katanya.