Cadang denda lebih tinggi pasangan nikah luar negara

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

MEDIA pada Ahad melaporkan pendedahan daripada Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi bahawa hampir 300 pasangan dari negara ini menikah di Selatan Thailand setiap bulan.

Beliau menjelaskan bahawa sebanyak 60 peratus perkahwinan tersebut adalah poligami dan selebihnya kerana tidak mendapat izin keluarga.

Kebanyakan mereka ini akan memilih Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun untuk melakukan akad nikah.

Banyak implikasi bagi mereka yang berkahwin di luar negara seperti di Selatan Thailand jika perkahwinan tidak didaftarkan.

Tidak semua perkahwinan di sana mengikut hukum syarak, terutama bagi mereka yang menggunakan khidmat sindiket kerana terdapat laporan pasangan tidak perlu berada di sana ketika proses akad nikah berlangsung.

Situasi ini menunjukkan terdapat sindiket yang hanya mengejar keuntungan semata-mata dan itu antara sebab mengapa perlunya pasangan yang bernikah di Selatan Thailand untuk menyerahkan dokuman ke Pejabat Konsulat Malaysia bagi tujuan pengesahan.

Ia bagi mengelakkan kegagalan mendapatkan pengesahan yang boleh menyebabkan pernikahan pasangan berkenaan tidak boleh didaftarkan di Malaysia.

Terdapat beberapa kesan terutama jika pasangan gagal mendaftar perkahwinan mereka di pejabat agama di negara ini antaranya proses membuat sijil kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara kerana tidak mempunyai sijil nikah Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Kegagalan mendaftar pernikahan juga mengakibatkan proses pendaftaran persekolahan anak bermasalah.

Ketiadaan sijil ini juga menyukarkan proses tuntutan di mahkamah berkaitan dengan urusan pernikahan, perceraian, tuntutan harta sepencarian dan harta pusaka.

Ini kerana, perkahwinan yang gagal didaftarkan akan mengakibatkan anak tidak sah taraf, biarpun perkahwinan itu sah di sisi syarak.

Tindakan menyekat perkahwinan rentas sempadan merupakan perkara yang mustahil untuk dilakukan.

Akan tetapi daripada sudut penguatkuasaan dan hukuman bagi mereka yang berkahwin di negara-negara jiran perlu disemak semula dengan mengenakan denda lebih tinggi sebagai satu bentuk pengajaran.

Ini kerana di kebanyakan negeri, kesalahan tersebut hanya dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!