Sekolah rendah pertama NS sedia tapak pelupusan teks al-Quran

Siti Zaleha (kanan) dibantu guru mengoyak kertas mengandungi teks al-Quran.
Siti Zaleha (kanan) dibantu guru mengoyak kertas mengandungi teks al-Quran.
A
A
A

SEREMBAN - Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri menjadi sekolah rendah pertama di Negeri Sembilan yang menyediakan tapak pelupusan bahan mengandungi teks al-Quran dengan menggunakan batu sekam padi.

Guru Besar SK Puteri, Siti Zaleha Othman berkata, inisiatif itu diambil selepas pihaknya mengikuti Bengkel Pelupusan Al-Quran yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) tahun lalu.

Menurutnya, ketika ini hanya Pusat Dakwah Islamiah Paroi sahaja menyediakan tempat pengumpulan al-Quran dan bahan agama.

“Kami diberitahu yang mereka alami kekangan untuk tugas pelupusan kerana di Negeri Sembilan, hanya di situ yang mengendalikannya dan sangat menggalakkan mana-mana organisasi agama atau sekolah menyediakan kemudahan itu.

“Jadi pada April tahun lalu kita telah membina ruang pelupusan berhampiran dengan surau sekolah dengan kos dianggarkan RM2,000 yang merupakan hasil sumbangan ibu bapa dan guru,” katanya kepada Sinar Harian.

Abu teks al-Quran akan dimasukkan ke dalam tong khas disediakan.
Abu teks al-Quran akan dimasukkan ke dalam tong khas disediakan.

Beliau berkata, pihaknya mendapat bantuan daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membina kemudahan berkenaan yang mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, proses pelupusan pertama kali dilakukan pihaknya pada Julai lalu dan kini sudah tiga kali dilakukan diketuai seorang ustaz.

“Sebelum membakarnya, kita akan koyak helaiannya kecil-kecil dan selepas dibakar, abunya akan ditanam di tempat yang dikawal supaya ia terus terpelihara.

“Selama ini, kita akan kumpul semua dokumen yang mempunyai ayat-Quran seperti kertas peperiksaan dan buku agama yang rosak dengan menghantarnya ke pusat pengumpulan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi di sini tapi sekarang kita boleh lakukannya sendiri,” katanya.

Tong yang digunakan untuk proses pembakaran.
Tong yang digunakan untuk proses pembakaran.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia menawarkan perkhidmatan itu kepada pihak lain, namun ketika ini mereka hanya melupuskan teks mengandungi ayat al-Quran dan bukannya kitab al-Quran.