Kerajaan perlu segera laksana PSP: Penganalisis ekonomi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempercepatkan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang tertangguh sebelum ini bagi mendepani jangkaan ketidaktentuan ekonomi negara dalam masa terdekat.

Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, susulan isu ketegangan membabitkan negara Iran-Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak, kenaikan mendadak harga minyak mentah Brent sebenarnya tidak memberi berita baik kepada negara.

Menurutnya, dengan kenaikan harga minyak mentah Brent dijangka mencapai AS$70 (RM287.29) setong pada bila-bila masa, kerajaan sebenarnya terpaksa menanggung kos subsidi bahan api yang sangat tinggi.

"Jangka masa pendek memang kenaikan harga minyak dunia akan menambah pendapatan negara tetapi untuk jangka masa panjang, implikasi negatif terhadap ekonomi negara sebenarnya sangat besar.

"Jika ketegangan Amerika Syarikat-Iran di Timur Tengah berterusan, syarikat cari gali minyak negara, Petronas yang memiliki banyak prospek pelaburan di kawasan itu akan terancam seterusnya terjejas pendapatan.

"Program PSP ditangguhkan kerajaan sebelum ini perlu dilaksanakan segera supaya kesan negatif akibat kenaikan harga minyak dunia tidak begitu mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara," katanya kepada Sinar Harian.

Dr Ahmed Razman dan Dr Baayah Baba
Dr Ahmed Razman dan Dr Baayah Baba

Hari ini, harga minyak dunia dilaporkan melonjak mendadak susulan serangan peluru berpandu ke atas dua pangkalan yang menempatkan tentera AS di Iraq pada awal pagi semalam.

Artikel Berkaitan:

Stesen TV Iran turut melaporkan serangan misil balistik tersebut sebagai tindakan balas dendam terhadap pembunuhan komander Pasukan Pengawal Revolusi Iran, Qasem Soleimani pada Jumaat lalu.

Minyak mentah Brent dilaporkan meningkat 2.5 peratus pada AS$69.94 (RM287.04) setong pada perdagangan Asia tengah hari tadi susulan kebimbangan konflik sedang memuncak antara AS dan Iran akan menjejaskan bekalan minyak dari Asia Barat.

Ahmed Razman berkata, pelaksanaan segera PSP sebenarnya tidak perlu mengundang kebimbangan kepada golongan masyarakat tidak menerimanya selain golongan berpendapatan rendah (B40).

Menurutnya, apabila PSP dijalankan, kerajaan tidak perlu menaikkan harga minyak RON95 begitu ketara kerana tanggungan subsidi kini dikurangkan kepada golongan benar-benar layak sahaja.

"Sebenarnya bagi pelaksanaan PSP, golongan selain B40 dan sebahagian M40 masih menerima bantuan subsidi, cuma ianya akan dikurangkan secara berperingkat kepada jumlah sangat kecil.

"Bila kerajaan tidak perlu menanggung subsidi minyak begitu tinggi, keuntungan negara akibat kenaikan harga minyak dunia akan memastikan kadar kenaikan harga minyak runcit sangat terkawal dengan tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi domestik," katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi bebas, Dr Baayah Baba menegaskan kerajaan perlu mula berbelanja secara berhemah bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia disebabkan konflik Iran-AS.

Menurutnya, kesan konflik ketegangan dua negara itu sebenarnya lebih banyak memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia meskipun harga minyak dunia akan naik mendadak.

"Sebagai contoh, kesan konflik Iran-AS akan menganggu gugat hubungan perdagangan Malaysia dengan negara lain yang mempunyai kepentingan dengan kedua-dua negara berkenaan.

"Selain itu, kos pengimportan barangan perdagangan dengan negara lain juga akan semakin meningkat susulan kenaikan kos logistik disebabkan kenaikan harga minyak dunia," katanya.

Dr Baayah berkata, beliau turut menjangkakan harga minyak Brent mampu mencapai kenaikan sehingga AS$100 (RM410.41) dalam tempoh enam bulan ke hadapan sekiranya krisis ketegangan AS-Iran berterusan memuncak.

"Kerajaan kena ambil jalan tengah jangan menyokong mana-mana negara berkonflik di samping mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi domestik agar terus kekal mampan dalam tempoh itu," katanya.