Terlanggar anak lembu, wanita meninggal dunia selepas tiga hari

Fazleen meninggal dunia pada Ahad semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.
Fazleen meninggal dunia pada Ahad semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang wanita yang terlanggar anak lembu berkeliaran di jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, di sini meninggal dunia pada Ahad.

Mangsa, Fazleen Yusoff, 31, yang terlibat dalam kemalangan Rabu lalu menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.10 pagi semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Jenazah ibu kepada dua cahaya mata itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Uban, Pasir Mas pada jam 11 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan menghantar tempahan kuih kepada pelanggan di RKT Paloh 3.

"Ketika kejadian, mangsa bersama suami, Nik Amdan Mohd Ali, 28, serta dua anak mereka, Nik Nur Irdina Sofia, 7, dan Nik Nur Irdina Arisha, 4.

"Siasatan mendapati, setibanya di tempat kejadian tiba-tiba ada seekor anak lembu yang melintas jalan dan melanggar hadapan motosikal yang dinaiki mangsa," katanya.

Menurut beliau, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan awal.

Ujarnya, mangsa dipindahkan ke HUSM untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Choon Foo memberitahu, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di HUSM pada jam 1.10 pagi Ahad.

Katanya, jenazah mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga untuk dikebumikan pada pagi Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.