TNB percepatkan peralihan kepada kenderaan EV

TNB yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Ir Baharin Din bergambar di hadapan armada elektrik baharu. - Foto TNB
TNB yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Ir Baharin Din bergambar di hadapan armada elektrik baharu. - Foto TNB
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) dengan menggunakan 98 unit baharu merangkumi 78 trak pikap dan 20 van elektrik yang menjadikan jumlah keseluruhan pengangkutan itu dalam armada syarikat berkenaan kepada 127 buah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir Baharin Din berkata, pihaknya menyasarkan untuk menggantikan 30 peratus iaitu lebih 1,000 kenderaan kepada EV pada 2030.

Baharin mengambil alih kemudi pikap elektrik TNB, turut disertai oleh Ketua Pengurusan Kenderaan, Mohammad Anas Ibrahim, di TNB Global Business Solutions (TGBS) melambangkan usaha bersama menuju masa depan yang lestari dengan mencapai Sifar Bersih 2050. - Foto TNB
Baharin mengambil alih kemudi pikap elektrik TNB, turut disertai oleh Ketua Pengurusan Kenderaan, Mohammad Anas Ibrahim, di TNB Global Business Solutions (TGBS) melambangkan usaha bersama menuju masa depan yang lestari dengan mencapai Sifar Bersih 2050. - Foto TNB

“Usaha ini menekankan komitmen TNB terhadap peralihan tenaga yang pantas dan bertanggungjawab serta menyumbang secara signifikan kepada sasaran kerajaan mencapai 20 peratus jualan EV, selaras Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) 2020.

“Langkah ini mendorong kami lebih dekat untuk mencapai Sifar Bersih 2050 melalui amalan mampan dalam operasi kami yang menjadi keutamaan jelas kerana secara aktif menyumbang untuk membina ekosistem EV yang mantap,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Selain itu, tambah Baharin, peralihan kepada pengangkutan tersebut diunjurkan menghasilkan pengurangan tahunan sebanyak hampir 4,833 tan CO2, bersamaan kira-kira sehingga 193,320 pokok sebagai pengimbang menjelang 2030.

Ujarnya, manfaat ekonomi daripada inisiatif tersebut adalah besar dengan jangkaan penjimatan kos sehingga 86 peratus untuk pembaikan dan penyelenggaraan.

“Kos tenaga yang digunakan juga lebih rendah berbanding kenderaan bahan api fosil konvensional iaitu sehingga 70 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Inisiatif ini diberi tumpuan awal di Lembah Klang dan Langkawi, sejajar dengan matlamat kelestarian kawasan itu serta menyokong visi masing-masing untuk menjadi negeri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” jelasnya.

Menekankan pendekatan holistik kepada peralihan tenaga, Baharin memaklumkan bahawa pihaknya bukan sahaja berdedikasi untuk mempercepatkan penggunaan EV, namun memberi tumpuan kepada peningkatan semula kemahiran untuk industri berkenaan.

Tambahnya, inisiatif tersebut juga dapat membina infrastruktur pengecasan, menaja kajian berkaitan EV dan memupuk kerjasama dalam kalangan pemain sektor itu.

“Pada masa sama, TNB merancang untuk memperluaskan kemudahan pengecasan EV kepada lebih 500 stesen menjelang 2025 di seluruh negara sebagai sokongan kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Inisiatif ini bukan sahaja selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), tetapi menyokong pelan tersebut iaitu mempercepatkan penyahkarbonan penjanaan, membangunkan grid rentas sempadan yang fleksibel dan memperkasakan tenaga elektrik rentas sektor serta prosumer,” jelasnya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28