Imigresen tumpaskan sindiket palsukan dokumen RTK 2.0

Petugas JIM Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan ke atas majikan yang dipercayai cuba memalsukan dokumen bagi permohonan RTK 2.0 di Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Rabu.
Foto Ihsan JIM Kuala Lumpur.
Petugas JIM Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan ke atas majikan yang dipercayai cuba memalsukan dokumen bagi permohonan RTK 2.0 di Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Ihsan JIM Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur berjaya mengesan cubaan pihak majikan memalsukan dokumen bagi permohonan Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0).

Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, cubaan tersebut dapat dihidu oleh pegawai dari Pasukan Kerja RTK 2.0 sewaktu semakan dokumen dijalankan, sebelum kelulusan kuota diberikan oleh Bahagian Pekerja Asing JIM Kuala Lumpur.

Antara dokumen yang diperiksa petugas JIM Kuala Lumpur semasa serbuan di sebuah premis di Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Ihsan JIM Kuala Lumpur.
Antara dokumen yang diperiksa petugas JIM Kuala Lumpur semasa serbuan di sebuah premis di Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Ihsan JIM Kuala Lumpur.

Beliau berkata, permohonan kuota pekerja asing sektor perladangan itu berjaya ditumpaskan dengan hasil inisiatif proaktif pegawai imigresen JIM Kuala Lumpur yang menyemak ketulenan geran tanah serta dokumen-dokumen yang dilampirkan dalam permohonan tersebut.

"Sehubungan itu, satu pasukan operasi digerakkan daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur yang terdiri daripada empat orang pegawai pelbagai pangkat telah menggempur premis syarikat yang terletak di Desa Petaling, dekat sini pada Rabu jam 11 pagi.

"Hasil operasi itu mendapati dua orang warga tempatan iaitu seorang wanita yang dipercayai pengarah syarikat dan seorang lelaki dipercayai merupakan pengurus syarikat sedang berada di premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata beliau, kedua-dua suspek telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut yang dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63.

Jelas beliau, tindakan menahan suspek adalah berdasarkan cubaan pengarah syarikat memperolehi untuk diri orang lain (pekerja warga asing) suatu pas dengan memberi kenyataan palsu dan Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama iaitu bersubahat atau melibatkan diri dalam komplot jenayah untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah akta tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya menyeru semua majikan yang telah mendaftarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk program RTK 2.0 supaya segera hadir ke pejabat RTK 2.0 JIM Kuala Lumpur untuk menyelesaikan proses verifikasi.

Jelas beliau, ia bagi membolehkan urusan pengeluaran permit kerja sementara disempurnakan tanpa menunggu sehingga saat akhir, seterusnya mengelak berlaku sebarang kesulitan.

"Majikan perlu bertanggungjawab bagi memastikan semua dokumen yang dikemukakan semasa permohonan adalah tulen dan diperolehi daripada agensi pengeluar dokumen dan bukan melalui ejen atau pihak ketiga.

"Pihak JIM Kuala Lumpur tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara dipelihara," tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!