KPDN Perak tumpaskan sindiket seleweng diesel subsidi

Penguat kuasa KPDN memeriksa lori tangki yang diubah suai bagi mengisi minyak diesel bersubsidi ketika serbuan di sebuah stor tersembunyi di sini pada Selasa.
Penguat kuasa KPDN memeriksa lori tangki yang diubah suai bagi mengisi minyak diesel bersubsidi ketika serbuan di sebuah stor tersembunyi di sini pada Selasa.
A
A
A

PANTAI REMIS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Cawangan Manjung menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi bernilai lebih RM260,000 di sebuah stor tersembunyi di sini pada Selasa.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan itu hasil risikan dibuat selama dua minggu ke atas sebuah lori tangki diubah suai yang disyaki membuat pembelian minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Pantai Remis, Beruas dan Taiping.

Menurutnya, susulan risikan berkenaan juga berjaya menemukan sebuah stor haram bagi aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi kepada pembeli lain.

"Ketika serbuan dilakukan, terdapat dua pekerja lelaki tempatan di stor berkenaan sedang memindahkan cecair disyaki minyak diesel ke dalam dua buah lori tangki yang dipercayai akan dihantar kepada pembeli dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran bagi minyak diesel komersial atau kegunaan industri.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pekerja yang masing-masing berusia 48 dan 58 tahun itu gagal mengemukakan sebarang lesen CSA atau permit pengendalian barang kawalan apabila diminta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

KPDN Perak Cawangan Manjung menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi bernilai lebih RM260,000.
KPDN Perak Cawangan Manjung menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi bernilai lebih RM260,000.

Kamalludin berkata, pihaknya kemudian menyita cecair disyaki minyak diesel dianggarkan 5,000 liter, sebuah lori tangki, peralatan mengepam dan beberapa dokumen dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM261,850 manakala kedua-dua pekerja turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu manakan denda tidak melebihi RM2 juta bagi syarikat.

Artikel Berkaitan:

"KPDN Perak akan terus komited dan konsisten mengambil tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.

"Masyarakat pula disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat-maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi," katanya.

Jelas beliau, orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan bagi membantu membanteras aktiviti tersebut daripada terus berlaku sekaligus dapat mengelakkan ketirisan subsidi kerajaan.