Pelaburan RM329.5 bilion berpotensi wujud lebih 127,000 peluang pekerjaan

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaburan diluluskan kerajaan berjumlah RM329.5 bilion melibatkan 5,101 projek berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian jumlah pelaburan tersebut mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara.

Ujar beliau, MITI juga mengiktiraf sumbangan daripada pelbagai pihak di semua peringkat, termasuk pelbagai kementerian, agensi dan pihak swasta, yang turut membantu dalam mempercepatkan proses pelaksanaan komitmen pelaburan

“Peningkatan 35.1 peratus bagi pelaburan domestik juga mencerminkan keyakinan terhadap dasar-dasar Kerajaan Madani.

“Bagi tempoh 2021 sehingga 2023, sebanyak 2,386 projek perkilangan telah diluluskan. Projek perkilangan secara umumnya akan mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan, bergantung kepada tahap kerumitan sesuatu projek,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, sekali gus menjadikannya yang tertinggi dalam sejarah negara.

Dalam pada itu, ujar Tengku Zafrul, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi (Track) juga komited memastikan projek-projek perkilangan yang diluluskan itu dapat dilaksanakan dengan segera.

“Peranan Track adalah amat penting dalam meningkatkan keberkesanan proses pemantauan dan fasilitasi pelaburan seterusnya mempercepat dan meningkatkan kadar pelaksanaan projek di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, MITI dan agensinya juga telah banyak memudahcara perjalanan pelabur di Malaysia melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang bertempat di MIDA, di mana pelabur boleh menyelesaikan pelbagai urusan pentadbiran secara langsung dengan pihak berkuasa seperti kastam, imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Buruh,” katanya.

Dalam pada itu, ulas beliau, MITI juga akan mengutamakan pembangunan dan penghasilan bakat berkualiti bagi memenuhi permintaan dinamik industri.

Jelasnya, hasrat itu bertujuan agar kedudukan negara sebagai pusat inovasi dan kecemerlangan kekal kukuh pada masa hadapan.

“Kita juga akan mengutamakan pembukaan peluang kepada syarikat dan usahawan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menerima manfaat dari pelbagai pelaburan yang dilaksanakan di Malaysia,” jelasnya.