[VIDEO] Bekas SUSK bekas menteri diperintah bela diri lapan kes rasuah RM1.77 juta

A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang bekas setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya diperintah membela diri atas lapan pertuduhan menerima rasuah RM1.77 juta bagi mendapatkan tender pengiklanan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, lima tahun lalu.

Hakim, Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham di akhir kes pendakwaan.

Ketika menyampaikan keputusan tersebut, Suzana berkata, Mohd Saifullah, 33, diperintah membela diri dan dia diberi tiga pilihan.

Mohd Saifullah diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas lapan pertuduhan menerima rasuah RM1.77 juta.
Mohd Saifullah diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas lapan pertuduhan menerima rasuah RM1.77 juta.

“Pertama ialah berdiam diri, kedua memberi keterangan dalam kandang secara tidak bersumpah, tanpa disoal balas atau ketiga, membela diri dengan memberi keterangan bersumpah di kandang saksi dan boleh disoal balas,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam, Haijan Omar yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya mengambil pilihan ketiga untuk membela diri.

“Pihak kami akan memanggil tiga saksi termasuk Mohd Saifullah untuk memberi keterangan, menggunakan pernyataan saksi.

“Kami akan berhubung dengan pihak pendakwaan, sama ada akan memanggil mana-mana saksi yang ditawarkan sebelum ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 17 April depan untuk hari pertama perbicaraan bela diri.

Bagaimanapun, mahkamah melepaskan dan membebaskan Mohd Saifullah daripada 11 pertuduhan menerima dan meminta RM820,530 daripada individu sama.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut melepaskan dan membebaskan tunang Mohd Saifullah, Nurfadziana Abdul Kadir, 32, daripada satu pertuduhan bersubahat dalam melakukan kesalahan rasuah dengan menerima suapan RM232,000.

Mahkamah melepaskan dan membebaskan tunang Mohd Saifullah, Nurfadziana Abdul Kadir, 32, daripada pertuduhan bersubahat dalam melakukan kesalahan rasuah dengan menerima suapan RM232,000.
Mahkamah melepaskan dan membebaskan tunang Mohd Saifullah, Nurfadziana Abdul Kadir, 32, daripada pertuduhan bersubahat dalam melakukan kesalahan rasuah dengan menerima suapan RM232,000.

Prosiding itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Low Chin How, Noor Syafina Mohd Redzuan, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Nurul Atiqah Mohamad Alias.

Mengikut lapan pertuduhan, Mohd Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada seorang pemilik syarikat melalui seorang lagi individu.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan perkara iaitu berjanji mendapatkan tender ‘Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative) bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia’ kepada syarikat itu.

Perkara itu ialah bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia dan tender ‘Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020’ secara rundingan terus kepada satu lagi syarikat.

Berdasarkan 11 pertuduhan pula, Mohd Saifullah didakwa menerima dan meminta suatu suapan berjumlah RM820,530 daripada seorang pemilik syarikat dengan berjanji mendapatkan dua tender yang sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pusat beli-belah, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC); di pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; di Vipod Residences; di Maybank lslamic Berhad, Wisma Genting; di premis di Temasya Anggun, Glenmarie, Selangor; Kota Damansara dan Petronas Dengkil antara 11 pagi hingga 11.30 malam, pada 21 Disember 2018 hingga 1 Mac 2019.

Bagi pertuduhan meminta dan menerima rasuah, Mohd Saifullah didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Nurfadziana dituduh mengikut Seksyen 28 (1) dan kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas setiausaha sulit kanan bekas menteri didakwa rasuah

SPRM dakwa bekas SUSK menteri buat laporan palsu

Bekas SUSK bekas menteri didakwa rasuah RM3.1 juta