Jadi sumber utama, semarak seni dan budaya

Misi utama Mohd Amran terajui JKKN

A
A
A

MOHD AMRAN
MOHD AMRAN

Secara dasarnya, setiap program yang dilaksanakan oleh JKKN adalah berteraskan kepada enam teras Pelan Strategik JKKN 2021-2025 bagi mempertingkatkan kesedaran, pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni budaya dalam kehidupan serta memupuk semangat perpaduan antara kaum. Program-program yang dilaksanakan juga sebahagian daripada medium pembangunan modal insan ke arah melahirkan masyarakat yang mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam membentuk perpaduan dan keharmonian.

Berdasarkan komitmen tersebut, Wartawan, IZWAN ROZLIN bersama Jurugambar, ROSLI TALIB, Sinar Harian cuba mengupas lebih lanjut mengenai usaha JKKN itu bersama Ketua Pengarah JKKN, MOHD AMRAN MOHD HARIS selain meneliti perkaitannya dengan Pelan Strategik JKKN 2021-2025.

SINAR HARIAN: Sebaik sahaja mengambil alih tampuk kepimpinan JKKN, apakah agenda utama tuan bersama-sama barisan kepimpinan jabatan.

MOHD AMRAN: JKKN merupakan sebuah jabatan yang bertanggungjawab dalam melaksana serta menyemarakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian negara di pelbagai peringkat selaras dengan hasrat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memajukan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia selain membina jati diri bangsa berteraskan seni, budaya dan warisan negara.

Selari dengan visi JKKN sebagai peneraju seni budaya dalam mendukung seni untuk seni, seni untuk perpaduan dan seni budaya untuk penjanaan pendapatan kepada para pemain industri ke arah pembentukan jati diri dan kesejahteraan masyarakat tanpa mengira bangsa, umur dan lokasi.

Apa pencapaian signifikan JKKN tahun ini ?

Artikel Berkaitan:

Pada tahun ini, pelbagai persembahan kesenian di luar negara yang melibatkan Artis Budaya JKKN seluruh Malaysia seperti persembahan kesenian sempena Food and Culture di Kumming, Yunnan China, Misi Galakan Pelancongan dan Kebudayaan Islam di China, sambutan Hari Merdeka di Phnom Penh, Cambodia dan banyak lagi.

Malah, JKKN turut dipertanggungjawabkan mengendalikan persembahan khas Hari Kebangsaan 2023 selain persembahan Majlis Santapan Negara di Istana Negara antaranya Lawatan Negara Gabenor Jeneral New Zealand, Majlis Jamuan Negara Bersama Presiden Filipina, Majlis Santapan Istiadat Menghadap & Istiadat Pengurniaan (DKBPP) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan dan banyak lagi.

Pada masa sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia telah memilih dua (2) judul buku terbitan JKKN iaitu Keindahan Kain Tenun Songket Malaysia (The Beauty of Malaysian Songket) oleh Prof. Norwani Md. Nawawi dan buku Mek Mulung Bangkitnya Warisan turun-Temurun (A Heritage Rediscovered) oleh Dr. Nur Izzati Jamalludin. Kedua-dua buku Ini telah disenaraikan dalam penerbitan katalog 50 Best Malaysian Titles for International Rights 2022/2023.

Selain itu, kita berjaya meraih Anugerah Emas bagi kategori Folklore with Accompaniment oleh PERMATA Seni Koir (PSK) sempena pertandingan World Choir Games, 2023 yang telah berlangsung pada 3 hingga 14 Julai 2023 di Gangneung Republik Korea Selatan. Ia merupakan kejayaan kedua selepas memenangi Anugerah Perak bagi kategori Pop-Open Competition pada 6 Julai 2023 dalam pertandingan yang sama.

Pada pendapat tuan, adakah acara berteraskan seni dan budaya dapat memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat kita?

Selaras dengan Teras Keharmonian Masyarakat di bawah Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), keharmonian merupakan kunci kepada perpaduan dan kestabilan negara. MOTAC melalui jabatan serta agensi telah menganjurkan pelbagai program dan aktiviti seni agar masyarakat dapat memahami, menghayati dan menghargai seni budaya dan warisan pelbagai kaum di Malaysia.

Penganjuran Festival Kesenian Peribumi Malaysia 2023 yang berlangsung di Teluk Cempedak, Kuantan baru-baru ini.
Penganjuran Festival Kesenian Peribumi Malaysia 2023 yang berlangsung di Teluk Cempedak, Kuantan baru-baru ini.

JKKN tidak hanya memfokuskan kesenian tradisional Melayu sahaja tetapi melibatkan kesenian daripada kaum Cina, India, Sabah, Sarawak dan juga masyarakat Orang Asli menerusi Festival Kesenian Pribumi Malaysia selain Festival Permainan Tradisional daripada semua kaum.

Selain program pelancongan seni budaya, apakah bentuk sokongan lain yang diberikan oleh JKKN kepada NGO?

JKKN telah memperkenalkan Program Insentif Seni JKKN yang diadakan sejak tahun 2019. JKKN telah mengambil inisiatif memberi bantuan berkenaan memandangkan NGO kebudayaan amat penting dalam pembangunan seni budaya negara.

Antara Insentif Seni yang ditawarkan oleh JKKN berbentuk kewangan, ruang, kepakaran, khidmat nasihat serta promosi melalui medium digital dan media sosial. Bantuan ini terus kepada mereka bersama kriteria seperti visi, idea serta konsep yang jelas dan mapan, tidak menyentuh sensitiviti kaum dan agama serta memberi impak kepada pertumbuhan negara.

Apakah kaedah atau inisiatif JKKN dalam memperkasakan modal insan serta kemahiran seni budaya kepada para penggiat seni?

Usaha JKKN melahirkan serta membangunkan modal insan seni budaya diperluaskan bermula seawal usia kanak-kanak sehingga peringkat komuniti dan penggiat seni.

Antaranya, program Bimbingan Seni Budaya di pelbagai peringkat masyarakat melalui pewujudan Pusat Bimbingan Seni Budaya (PBSB) dan aktiviti Jom Belajar dan bimbingan peringkat komuniti program berbentuk asuhan, kemahiran dan latihan diteruskan agar seni budaya terus dilestari oleh generasi akan datang melibatkan enam bidang kesenian meliputi seni tari, teater, muzik (kompang dan gamelan), gasing, silat dan kesusasteraan.

Selain itu, program bengkel dan latihan turut dilaksanakan pada tahun ini antaranya Pembangunan Latihan Kemahiran (ILB Seni Budaya), Bengkel Asas Pengendalian Bunyi dan Penataan Cahaya, Penulisan Artikel Seni Budaya, Pemurnian Portal e-Learning, Pemurnian Modul Dikir Barat serta Kursus Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) dan Artis Budaya (AB) untuk memperkasakan seni budaya di peringkat masyarakat.

Selain itu, usaha dokumentasi sumber rujukan seni budaya turut mendapat kerjasama daripada NGO, universiti-universiti awam serta para penggiat seni budaya. Terdapat enam penyelidikan seni budaya telah dilaksanakan iaitu Lambung Bertih, Adat Melayu Kedah Yang Ditinggalkan, Kedah; Adat Kelahiran Orang Asli Semai: Nilai dan Unsur Alam, Perak; Adat Perpatih Dalam Rumah Tangga Orang Asli Temuan di Negeri Sembilan; Upacara Talimbu Lapas Dalam Masyarakat Bisaya, Kuala Penyu Sabah dan Adat Perkahwinan Etnik Bidayuh, Sarawak serta Rodat Seni Yang Terpinggir.

Apakah harapan tuan dalam usaha menyemarakkan seni dan budaya?

Saya mengharapkan supaya JKKN akan menjadi pusat kepada pembangunan kesenian dan kebudayaan kebangsaan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga kepada dunia.

Kita amat berharap suatu hari kita akan mempunyai sebuah kompleks kebudayaan sendiri yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan agar dapat menjadi ‘Perkampungan Budaya’ di tengah-tengah kepesatan pembangunan kosmopolitan. Selain menjadi pusat kebudayaan setempat di Kuala Lumpur, kompleks ini juga dapat mewujudkan serta menzahirkan identiti juga ekosistem kebudayaan dan kesenian sebenar masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya.

BIODATA:

MOHD AMRAN MOHD HARIS

Jawatan: Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)

Asal: Batu Pahat, Johor

Umur: 47 tahun

Pendidikan:

Diploma Pentadbiran Awam Institut Teknologi Mara (ITM)

Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam Universiti Utara Malaysia (UUM)

Pengalaman kerjaya:

2001-2002: Penolong Setiausaha Kewangan di Bahagian Pembangunan Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan

2004: Penolong Setiausaha Kewangan, JKKN

2010: Pengarah, Bahagian Bimbingan Seni Budaya, JKKN

2015: Pengarah, di JKKN, Wilayah Persekutuan

2019: Pengarah, Bahagian Pengembangan Seni Budaya, JKKN

2021: Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Kebudayaan dan Kesenian, JKKN

2022: Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Dasar dan Perancangan, JKKN

2023: Ketua Pengarah JKKN (bermula 6 September 2023)