[VIDEO] Sultan Perak titah ambil tindakan tegas terhadap pencuri NR-REE

A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan perbuatan ‘harapkan pegar, pegar makan padi' dalam kalangan pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan peneroka haram bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dikenakan tindakan tegas.

Baginda bertitah, NR-REE yang begitu berharga diakui telah menarik perhatian pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan pencerobohan melakukan operasi mengeluarkan mineral secara haram.

Titah baginda, pencerobohan dan operasi secara haram ini hanya akan menyebabkan ketirisan hasil negeri selain berlakunya aktiviti perlombongan tidak terkawal yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan masyarakat.

Sultan Nazrin berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
Sultan Nazrin berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

"Tindakan tegas dan pantas perlu diambil oleh agensi-agensi penguat kuasa terutama oleh Jabatan Perhutanan.

"Pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan peneroka haram, hendaklah segera disiasat, dikenal pasti dan diambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di sini pada Jumaat.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin bertitah, royalti daripada bahan mineral yang menjadi antara sumber pendapatan negeri ini telah menunjukkan trend peningkatan daripada RM88.2 juta pada 2021 kepada RM101.5 juta (2022) dan RM129.5 juta tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Titah baginda, pelaksanaan projek perintis NR-REE di kawasan seluas 88 hektar di Mukim Kenering, Hulu Perak telah menghasilkan pengeluaran hampir 6,200 tan metrik karbonat REE dan berdasarkan 12 peratus royalti yang dikenakan daripada harga jualan, kerajaan negeri telah memperoleh kutipan royalti berjumlah RM25.2 juta bagi tahun 2023.

"Dalam tahun 2024, kerajaan beta menyasarkan perolehan royalti melalui sumber mineral baharu ini akan mencecah RM50 juta.

"Sebagai sumber mineral yang berpotensi menjana hasil negeri berdaya saing tinggi, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menganggarkan terdapat 1.69 juta tan metrik deposit NR-REE di negeri ini dengan anggaran nilai RM40 bilion," titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, kerajaan Perak kini berusaha merintis pembangunan ‘Loji Pemprosesan Pusat’ (Central Processing Plant-CPP) di peringkat sektor industri pertengahan dan pembangunan kilang-kilang berteknologi tinggi di peringkat sektor industri hiliran, bertujuan meningkatkan nilai harga pasaran bahan mineral berkaitan.

"Beberapa lokasi strategik dikenal pasti untuk pembangunan Loji Pemprosesan Pusat.

"Dalam usaha merintis membangunkan industri pertengahan dan hiliran, kerajaan beta bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan Persekutuan, di samping merintis usaha menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat yang memiliki kepakaran dan teknologi khusus," titah baginda.

Disember lalu, seramai 31 individu termasuk 21 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penerokaan NR-REE secara haram di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.

Penahanan itu hasil serbuan polis bersama Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) melalui Op Khazanah itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

___________________________________________________________________________________________________________________________________________

Tegas banteras rasuah, isyarat kesungguhan kerajaan

IPOH - Langkah tegas pencegahan rasuah memberi isyarat penting akan kesungguhan kerajaan memupuk persekitaran perniagaan yang telus lagi adil.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tata kelola yang baik seumpama itu sangat diperlukan untuk membina keyakinan pelabur terutama dalam suasana negara menghadapi cabaran besar memacu pertumbuhan ekonomi.

Sultan Nazrin
Sultan Nazrin



Titah baginda, negara ketika ini tidak terkecuali mendepani cabaran landskap ekonomi global yang lebih rumit dipengaruhi dinamik geopolitik, hubungan perdagangan dan pakatan ekonomi kuasa-kuasa besar.

Malah kata baginda, Malaysia juga tidak terlepas daripada kesan negatif akibat peperangan Ukraine-Rusia serta konflik berpanjangan Palestin-Israel yang menjadi bertambah berat dengan peperangan yang sedang berlaku di Gaza.

"Mengatasi segala-galanya, amatlah penting untuk Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang stabil, aman dan harmoni.



"Usaha-usaha kerajaan memberi tumpuan kepada sektor-sektor pertumbuhan baharu merupakan inisiatif strategik yang mampu meletakkan ekonomi negara lebih berdaya saing di peringkat global," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di sini pada Jumaat.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, tadbir urus kewangan cekap dan kaedah kutipan hasil yang berkesan memberi impak positif terhadap kedudukan kewangan negeri ini apabila berjaya menutup akaun dengan surplus RM29.6 juta bagi tahun kewangan 2022 dan surplus RM62.4 juta tahun lalu.

Titah baginda, kutipan hasil RM1.21 bilion yang direkodkan pada 2023, merupakan kutipan hasil tertinggi yang pernah diperoleh di negeri Perak, mengatasi 7 peratus sasaran RM1.13 bilion yang diunjurkan.

"Kedudukan kewangan yang kukuh telah mengupayakan kerajaan beta membentangkan Belanjawan Negeri tertinggi dalam sejarah.

"Dewan ini telah meluluskan peruntukan belanjawan RM1.4 bilion (RM1,347,000,000.00) bagi tahun 2024 dengan RM865 juta bagi belanja mengurus dan RM491 juta belanja pembangunan.

"Semoga kerajaan beta terus meningkatkan usaha menambahkan hasil di samping mengamalkan langkah belanja berhemah dengan mengamalkan budaya berjimat cermat serta budaya tidak membazir," titah baginda.