31 ditahan dalangi kecurian REE lantanid di Hulu Perak

Seramai 31 individu termasuk 10 warga tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanid secara haram di Hulu Perak. - Gambar hiasan
Seramai 31 individu termasuk 10 warga tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanid secara haram di Hulu Perak. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Seramai 31 individu termasuk 10 warga tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanid secara haram di Hulu Perak.

Kesemua mereka berusia antara 23 hingga 69 tahun itu diberkas di lokasi berasingan sekitar Gerik hasil operasi bersepadu khazanah yang dijalankan pihak polis bersama Jabatan Perhutanan bermula 8 Disember lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi pertama dijalankan di Hutan Simpan Bintang Hijau, pihak berkuasa berjaya menjumpai kawasan yang dipercayai berlakunya aktiviti perlombongan haram.

Mohd Yusri - Foto IPK Perak
Mohd Yusri - Foto IPK Perak

Menurutnya, hasil serbuan dilakukan di lokasi itu, polis melakukan tangkapan terhadap 28 individu melibatkan sembilan warga tempatan dan 19 warga asing.

"Hasil tangkapan itu, polis berjaya menahan seorang lagi warga tempatan dan dua pekerja asing berhubung kes sama.

"Siasatan kemudiannya mendapati, kesemua mereka terlibat dalam aktiviti perlombongan haram NR-REE di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan lanjut kes berkenaan dibuat Jabatan Perhutanan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil semakan dibuat mendapati, kesemua warga asing ditahan iaitu melibatkan warga China, Myanmar dan Vietnam itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua warga tempatan yang ditahan direman selama tiga hari dan tangkapan warga asing pula tempoh reman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Mohd Yusri berkata, kejayaan semua tangkapan itu adalah hasil kerjasama dan maklumat diberikan orang awam kepada pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan, wujud usaha pihak tertentu untuk mengekstrak secara haram perlombongan NR-REE lantanid yang diusahakan kerajaan negeri di Mukim Kenering, Gerik.

Perkara itu didedahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan laporan polis mengenainya turut dibuat.

Sepanjang tempoh Februari hingga November tahun ini, kerajaan Perak sudah menerima royalti sebanyak RM21.1 juta hasil daripada perlombongan berkenaan.