Perak kutip royalti lantanida lebih RM21 juta

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM21.1 juta dalam tempoh 10 bulan hasil royalti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanida.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah itu dijangka terus meningkat apabila mineral tersebut perlu diekstrak di dalam negara sebelum dieksport ke luar.

Menurutnya, ia sekali gus mewujudkan peluang pelaburan dan pekerjaan baharu dalam industri mineral terutama bagi mereka yang mempunyai pengetahuan atau kepakaran berkaitan NR-REE.

"Dalam tempoh 10 bulan ini kita telah berjaya mengutip royalti sebanyak RM21.1 juta. Ia sangat bernilai apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kita tidak boleh mengeksport NR-REE dalam bentuk mentah.

"Kita kena melakukan proses pengasingannya dalam Malaysia dan akan ada lagi proses dan kilang-kilang untuk penghasilan produk-produk pertengahan serta produk hiliran," katanya ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Penghargaan Pelabur 2023 di sebuah hotel di sini pada malam Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Ketua Eksekutif InvestPerak, Mohamad Hashim Abdul Ghani.

Sementara itu, Saarani turut mengalu-alukan pelabur untuk mengintai peluang dalam membangunkan industri berkaitan NR-REE di negeri ini memandangkan Perak merupakan perintis kepada usaha berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mendapatkan kebenaran daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Tenaga Atom bagi mengeluarkan mineral tersebut mengikut peraturan ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya nak ingatkan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang terlibat sebagai pelabur bolehlah mengintai peluang ini sebab mahu tidak mahu negeri lain yang ada NR-REE mereka memerlukan masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk memenuhi peraturan yang ditetapkan. Kami telah melaluinya dua tahun. Selepas dua tahun baru kami dibenarkan untuk melakukan ekstrak hasil bumi tersebut.

"Dalam tempoh ini kita sedang mendapatkan peluang supaya Perak diberikan keutamaan oleh kerajaan Persekutuan untuk memulakan kerja-kerja mengorek dan mengasingkan bahan-bahan ini dan saya percaya ia akan beri pendapatan agak lumayan," katanya.

Projek Perintis NR-REE di Mukim Kenering, Gerik yang dilaksanakan di kawasan seluas 84.6 hektar itu telah memulakan operasi pada bulan Oktober 2022 setelah memperolehi kelulusan dari segi perundangan yang berkaitan daripada agensi-agensi teknikal dan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri.