SMK Duyong mula beroperasi Julai ini

Mohd Noor Helmy (belakang, tiga dari kiri) bersama sebahagian murid-murid yang terpilih menerima bantuan persekolahan di Kompleks Japerun Duyong di Semabok di sini pada Khamis.
Mohd Noor Helmy (belakang, tiga dari kiri) bersama sebahagian murid-murid yang terpilih menerima bantuan persekolahan di Kompleks Japerun Duyong di Semabok di sini pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Duyong yang hampir siap dibina akan mula beroperasi pada Julai depan dengan menempatkan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, bangunan yang akan siap sepenuhnya pada akhir Mac depan itu dijangka akan menempatkan seramai 900 pelajar.

Menurutnya, pengambilan penuh pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima akan dilakukan bermula tahun depan.

"Saya dimaklumkan Jabatan Pendidikan negeri telah melantik pentadbir dan dalam proses melantik guru-guru di SMK Seri Duyong sebelum bangunan baharu itu beroperasi.

"Dengan adanya sekolah baharu ini dapat menyelesaikan masalah penduduk khususnya dalam kawasan Duyong sendiri sekali gus meningkatkan lagi mutu pendidikan anak-anak," katanya kepada pemberita selepas Program Kembali Ke Sekolah 2024 oleh Theta Edge (Anak syarikat Tabung Haji) kepada 200 murid di Kompleks Japerun Duyong di Semabok, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Perkhidmatan Teknologi Kumpulan Theta, Effie Rizal Mustafa Kama.

Sementara itu suri rumah, Marsyita Mohamad, 47, bersyukur menerima bantuan yang katanya sedikit sebanyak dapat meringankan beban kerana suaminya hanya bekerja sebagai buruh.

Menurutnya, meskipun hanya seorang daripada empat anaknya terpilih menerima bantuan itu namun ia dapat menjimatkan perbelanjaan dan hanya perlu menyediakan kelengkapan sekolah untuk anak-anak lain.

Artikel Berkaitan:

"Ini kali pertama terima bantuan sekolah, setakat ini memang belum dapat sediakan pakaian persekolahan baharu untuk anak-anak.

"Bila ada yang bantu dapat kurangkan perbelanjaan kami sekeluarga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak bagi sesi persekolahan akan datang," katanya.

Sementara itu Effie Rizal berkata, syarikat itu menyasarkan penyampaian sumbangan bantuan persekolahan kepada 750 pelajar di Melaka dan Kuala Lumpur bagi tempoh suku pertama tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM75,000.

"Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) #thetaCares bagi membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan dan setiap pelajar diberikan bantuan RM100," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!