Pemandu buat aksi drift direman dua hari

Lelaki berkenaan bersama kereta yang dipandunya secara berbahaya dalam kejadian tesebut. Foto Polis Batu Pahat
Lelaki berkenaan bersama kereta yang dipandunya secara berbahaya dalam kejadian tesebut. Foto Polis Batu Pahat
A
A
A

BATU PAHAT – Seorang lelaki yang melakukan aksi 'drift' sehingga melanggar sebuah kenderaan lain di parkir di Jalan Desa Botani 1, Taman Desa Botani pada tengah malam Selasa direman selama dua hari sehingga Jumaat.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Mahkamah Majistret Batu Pahat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki terbabit ditahan pada Rabu, susulan paparan video yang tular di laman sosial Facebook menunjukkan sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya dan turut melakukan drift sehingga terbabas melanggar kenderaan lain di lokasi tersebut.

“Bertindak atas maklumat tersebut termasuk hasil siasatan dan risikan lanjut, polis kemudiannya berjaya mengenal pasti dan menahan pemandu dan kenderaan yang terlibat.

“Pada jam sekitar 1.15 petang, BSPT Batu Pahat telah menahan pemandu berkenaan yangmerupakan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun dan ujian saringan awal air kencing turut mendapati ia tidak mengandungi sebarang jenis dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM15,000.

Polis turut menasihatkan orang ramai terutamanya ‘kaki kereta’ atau ‘kaki motor’ yang cenderung suka menguji dan menunjukkan kehebatan jentera dan ‘kepakaran’ pemanduan agar tidak melakukannya di jalan-jalan awam kerana mengundang risiko bahaya kepada pengguna jalan raya lain dan jika berbuat demikian hendaklah di litar khas yang bersesuaian.

Polis akan mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang yang ada bagi mengelakkan perbuatan tersebut menjadi ikutan semata-mata bagi mendapatkan perhatian.

Artikel Berkaitan: