Industri pembuatan beroperasi pada kapasiti 79.8 peratus suku keempat

Iindustri pembuatan beroperasi pada kapasiti 79.8 peratus pada suku keempat 2023 berkurangan sebanyak 0.4 mata peratus berbanding kadar 80.2 peratus pada suku keempat 2022. Gambar hiasan
Iindustri pembuatan beroperasi pada kapasiti 79.8 peratus pada suku keempat 2023 berkurangan sebanyak 0.4 mata peratus berbanding kadar 80.2 peratus pada suku keempat 2022. Gambar hiasan
A
A
A

INDUSTRI pembuatan beroperasi pada kapasiti 79.8 peratus pada suku keempat 2023 berkurangan sebanyak 0.4 mata peratus berbanding kadar 80.2 peratus pada suku keempat 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, kapasiti penggunaan yang lebih rendah dalam industri pembuatan adalah disebabkan terutamanya oleh penurunan dalam subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (-4.2 mata peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (-0.5 mata peratus).

Beliau berkata, industri pembuatan beroperasi pada 79.4 peratus penggunaan kapasiti pada suku ketiga 2023, turun 1.9 mata peratusan tahun ke tahun sambil berkembang setiap suku tahun.

Menurutnya, kadar penggunaan dalam industri pembuatan melebihi 80.0 peratus bagi dua bulan berturut-turut, beroperasi pada 80.4 peratus pada Oktober 2023 dan 80.1 peratus pada November 2023 manakala kadar kapasiti penggunaan pada Disember 2023 susut kepada 78.9 peratus.

"Penurunan kadar kapasiti penggunaan pada suku keempat 2023 ini sejajar dengan trend Indeks Pengeluaran Industri Pembuatan yang menyusut 0.2 peratus (suku ketiga 2023: -0.1 peratus).

"Pengurangan kadar kapasiti pengeluaran dipengaruhi terutamanya oleh permintaan yang rendah, bekalan bahan yang tidak mencukupi serta pembaikan dan penyelenggaraan mesin dan peralatan,” kata Mohd Uzir.

Lima subsektor merekodkan kadar kapasiti penggunaan melebihi 80.0 peratus pada suku keempat 2023 dengan kadar tertinggi 83.2 peratus yang direkodkan dalam subsektor pembuatan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, mencatatkan peningkatan 4.5 mata peratus tahun ke tahun.

Ini diikuti oleh kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain dengan 82.2 peratus.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, subsektor pembuatan petroleum, kimia, getah dan plastik beroperasi pada kapasiti penggunaan terendah dengan 77.9 peratus, berkurangan sebanyak 4.2 mata peratus.

Bagi perbandingan dengan suku tahun sebelumnya, semua subsektor mencatatkan peningkatan kecuali produk peralatan elektrik dan elektronik yang susut 0.7 mata peratus kepada 79.2 peratus.

Bagi kapasiti penggunaan dalam industri berorientasikan eksport Mohd Uzir berkata ia terus menurun bagi empat suku tahun berturut-turut, berkurangan 2.1 mata peratus tahun ke tahun kepada 78.4 peratus pada suku ini.

"Pembuatan kok dan produk petroleum bertapis mencatatkan penurunan ketara sebanyak 9.6 mata peratus, mencapai 76.1 peratus diikuti pembuatan pakaian yang jatuh 7.7 mata peratus kepada 76.9 peratus.

"Berbanding suku tahun sebelumnya, kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport meningkat kecil 0.02 mata peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan domestik terus kukuh, mencatatkan 82.8 peratus pada suku keempat 2023 (+3.3 mata peratus) manakala semua industri dalam segmen ini merekodkan trend peningkatan kecuali pembuatan produk kulit dan barangan berkaitan yang berkurang 10.9 mata peratus kepada 81.9 peratus.

Di peringkat negeri, beliau berkata pada suku keempat 2023, industri pembuatan bagi enam negeri beroperasi pada kapasiti melepasi paras nasional iaitu Wilayah Persekutuan Labuan (95.6 peratus), Negeri Sembilan (83.8 peratus), Pahang (83.7 peratus), Selangor (82.1 peratus), Melaka (81.9 peratus) dan Johor (81.8 peratus).

Enam negeri mengalami penurunan kapasiti penggunaan tahun ke tahun iaitu Kedah, Kelantan, Melaka, Perlis, Terengganu dan Sarawak dengan Perlis kekal merekodkan kadar kapasiti penggunaan terendah pada 72.3 peratus, katanya.

Prestasi keseluruhan industri pembuatan pada 2023 beroperasi pada kadar kapasiti lebih rendah iaitu 79.3 peratus menyusut 1.1 mata peratus berbanding tahun 2022 (80.4 peratus).

"Hampir semua subsektor merekodkan penurunan kecuali produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (+1.5 mata peratus; 80.7 peratus) dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (+0.5 mata peratus; 82.1 peratus),” katanya.

Industri berorientasikan eksport berkurangan 2.1 mata peratus kepada 78.3 peratus pada 2023 (2022: 80.4 peratus) manakala industri berorientasikan domestik merekodkan 81.4 peratus, meningkat 1.1 mata peratus (2022: 80.3 peratus). - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28