Bilangan penganggur berkurang 6.3 peratus pada suku ketiga

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BILANGAN tenaga buruh meningkat 2.3 peratus merekodkan 16.82 juta orang bagi suku ketiga tahun ini, menurut Sorotan Pasaran Buruh Suku Ketiga 2023 oleh Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.7 mata peratus tahun ke tahun bagi tempoh sama kepada 70.1 selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang berkembang 3.3 peratus.

Beliau berkata, bilangan penganggur berkurang 6.3 peratus kepada 573,100 orang mencatatkan kadar pengangguran negara pada 3.4 peratus, yang dilihat secara beransur-ansur kembali ke tahap prapandemik.

Mohd Uzir turut memaklumkan, jawatan dalam sektor ekonomi meningkat sebanyak 2.6 peratus iaitu 8.90 juta jawatan.

"Jawatan diisi merangkumi 97.9 peratus daripada jumlah jawatan dan meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada 8.71 juta, manakala peluang pekerjaan dalam ekonomi ditunjukkan oleh bilangan kekosongan jawatan yang menyumbang 2.1 peratus daripada jawatan, menurun 0.2 peratus kepada 190,900 kekosongan," katanya.

Beliau berkata, lebih separuh daripada kekosongan pada suku ketiga 2023 adalah dalam sektor pembuatan iaitu 107,900 kekosongan, sebahagian besarnya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optik yakni 33,800 kekosongan.

"Pasaran buruh Malaysia menunjukkan prospek yang memberangsangkan pada suku ketiga tahun 2023, yang patut diberi perhatian di sebalik ketidaktentuan ekonomi global," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: