Sasar tingkat Kadar Kitar Semula Kebangsaan 40 peratus pada 2025

Akmal Nasrullah. Gambar kanan: KPKT sasar Kadar Kitar Semula Kebangsaan 40 peratus menjelang 2025.
Akmal Nasrullah. Gambar kanan: KPKT sasar Kadar Kitar Semula Kebangsaan 40 peratus menjelang 2025.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan peningkatan Kadar Kitar Semula Kebangsaan kepada 40 peratus menjelang 2025 dengan menetapkan lima strategi utama sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2023 pada Jumaat.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, strategi berkenaan merangkumi pelaksanaan pengurusan sisa pepejal berkonsepkan ekonomi kitaran, peluasan tanggungjawab pengeluar Extended Producer Responsibility (EPR), memperkasa pengasingan sisa pepejal di punca (Separation At Source - SAS) dan pengurusan sisa pepejal di sektor komersial, perindustrian serta keinstitusian (CII).

Selain itu, menurutnya, strategi pembasmian sampah haram dan sisa pepejal di sektor komersial, perindustrian, keinstitusian dan memperkasa pelaksanaan program pembudayaan Reuse, Reduce, Recycle (3R) serta kempen kesedaran.

“Tujuan utama sambutan HKSK diadakan setiap tahun adalah untuk memastikan alam sekitar yang kita huni terpelihara.

"Sumber alam ini merupakan satu anugerah tuhan perlu dimanfaat dan digunakan dengan penuh kebijaksanaan melalui amalan 3R.

“Penganjuran majlis ini juga memberi pengiktirafan kepada mereka yang giat melaksanakan inisiatif berkaitan kebersihan dan amalan 3R agar menjadi inspirasi kepada masyarakat.

“Kadar kitar semula kebangsaan 2023 meningkat kepada 35.38 peratus berbanding sasaran 35 peratus, ia selari dengan sasaran ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu 40 peratus menjelang 2025,” katanya ketika Majlis Malam Apresiasi Madani Cintai Bumi sempena Sambutan HKSK 2023 di Dewan De’ Seri Endon Puspanitapuri, Putrajaya.

Majlis anjuran bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) tersebut dihadiri Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan), Datuk Saidatu Akhma Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Suhaimi Ali@Ahmad; Pengerusi SWCorp, Wong Kah Woh serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Penganjuran sambutan pada kali ini dibarisi kerjasama rakan strategik seperti Majlis Rekabentuk Malaysia; F&N Holdings Bhd; Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd; Syarikat-syarikat Konsesi Environment Idaman Sdn Bhd; Alam Flora Sdn Bhd; SWM Environment Sdn Bhd; Kloth Care; badan bukan kerajaan (NGO); agensi kerajaan dan swasta serta semua pihak berkepentingan.

Akmal Nasrullah memaklumkan, pihaknya turut menubuhkan Majlis Ekonomi Kitaran pada 7 September lalu iaitu inisiatif berimpak tinggi dan platform nasional bagi menyatukan semua pemegang taruh untuk mempercepatkan agenda peralihan pengurusan sisa pepejal daripada ekonomi linear kepada kitaran secara holistik.

“Ia memberi tumpuan kepada enam elemen seperti membangunkan pasaran dan permintaan terhadap bahan kitar semula, mereka bentuk produk yang dapat mengoptimumkan kitaran hayat melalui penggunaan semula, kitar semula atau mesra alam.

“Menggalakkan pengasingan sisa pepejal di punca dan menambah baik sistem kutipan sisa pepejal, menyediakan kemudahan infrastruktur kitar semula atau insentif yang bersesuaian untuk menggalakkan 3R, membangunkan sistem data kitar semula bersepadu dan mewujudkan platform kerjasama awam, swasta serta komuniti,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menerangkan, KPKT telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysian Recycling Alliance Bhd (MAREA) bagi melaksanakan Projek Perintis EPR di Pulau Langkawi, Kedah.

Tambahnya, perjanjian persefahaman terbabit dibuat bertujuan mengenal pasti mekanisme, implikasi kewangan dan kadar bayaran bagi pelaksanaan EPR yang bersesuaian di negara ini.