[VIDEO] Warga Thailand mengaku salah seludup keluar petrol subsidi

A
A
A

TAIPING - Seorang lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping pada Rabu atas pertuduhan menyeludup keluar petrol bersubsidi dari negara ini ke Thailand, Sabtu lalu.

Tertuduh, Napphon Abdulloh, 51, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang berasal dari Betong itu didakwa telah meletakkan bahan api petrol ke dalam tangki kereta jenis Toyota Camry bagi maksud membawa barangan terbabit keluar dari Malaysia melalui darat melebihi kuantiti iaitu sebanyak 60 liter.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pos Jabatan Imigresen, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Berapit, Pengkalan Hulu sekitar jam 11.30 pagi pada 17 Februari lalu.*

**media[2545437]*

Pertuduhan dilakukan mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum di bawah Perenggan 5(a) peraturan sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya.

Tiada jaminan dibenarkan mahkamah dan kes disebut semula pada 25 Mac depan untuk serahan dokumen serta jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hasyutantee Khalil.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, media melaporkan KPDN Perak berjaya mematahkan cubaan seorang warga Thailand menyeludup minyak petrol RON95 ke negara jiran.

Pemeriksaan ke atas kereta bernombor plat Malaysia yang mahu menuju ke Betong, Thailand itu telah menemukan sebuah tangki tambahan pada bahagian belakang yang bersambung dengan tangki asal kenderaan tersebut.

Dianggarkan sebanyak 60 liter cecair yang disyaki minyak petrol telah disita bersama kenderaan dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM5,123.