Warga Thailand didenda RM20,000 seludup petrol

Lelaki warga Thailand (dua dari kanan) didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di Pasir Mas pada Rabu.
Lelaki warga Thailand (dua dari kanan) didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di Pasir Mas pada Rabu.
A
A
A

PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga Thailand didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas kesalahan menyeludup petrol.

Hakim Badrul Munir Mohd Hamdyz menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 32 tahun membuat pengakuan sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki barang kawalan iaitu petrol sebanyak 118 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah.

Kesalahan tersebut dilakukan olehnya semasa melalui Sekat Pintas di Serongga, Rantau Panjang pada jam 1.20 petang, 20 Julai lalu selepas ditahan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Perbuatan tersebut melanggar Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 yang turut dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Muhammadi Iman Masjuri dan Wan Razif Wan Ghazali.

Tertuduh pula diwakili oleh peguamnya, Ridzuan Muhamad.

Muhammadi Iman semasa penghujahan hukuman menyatakan, penyelewengan, penyeludupan dan ketirisan barang kawalan adalah isu serius yang menjadi perhatian kerajaan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Minyak petrol merupakan minyak yang disubsidi oleh kerajaan untuk dinikmati khas buat rakyat Malaysia.

"Kerajaan telah berbelanja bilion ringgit untuk memberi subsidi bagi kegunaan rakyat Malaysia," katanya.

Mahkamah kemudian menerima hujah pendakwaan untuk memohon supaya kenderaan tertuduh dilucutkan kerana telah digunakan untuk aktiviti penyeludupan terbabit.