Kod Etika Wartawan: Tepat pada masanya untuk kekal profesionalisme

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Ahirudin Attan, Suhaimi Sulaiman, Yong Soo Heong
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Ahirudin Attan, Suhaimi Sulaiman, Yong Soo Heong
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu pada hari ini dilihat tepat pada masanya untuk membimbing dan mengingatkan golongan pengamal media mengenai kepentingan profesionalisme dalam menyebarkan maklumat dengan integriti serta pandangan yang seimbang dan adil.

Kod yang dibangunkan lebih tiga dekad lepas telah dikemas kini untuk merangkumi cabaran dan landskap semasa sambil mengekalkan matalamat sama, iaitu terus memacu media tempatan sebagai satu sumber boleh dipercayai untuk rakyat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Mengulas mengenai kod versi baharu itu, Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan, Datuk Ahirudin Attan berkata, sudah tiba masanya kerajaan membuat semakan semula kod etika itu

"Kini kami telah melangkah ke dunia digital dan setiap apa pun boleh diakses secara dalam talian jadi pada asasnya kewartawanan juga perlu dan telah berubah, jadi kami perlukan versi baharu kod etika ini.

"Kod ini tidak bermaksud untuk merumitkan atau mengongkong kebebasan media sebaliknya ia akan membezakan kita dengan ‘citizen journalist’ atau apa yang saya panggil ‘quasi journalist’,” katanya ketika ditemui di luar Majlis Pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia pada Selasa.

Ahirudin yang juga dikenali sebagai 'Rocky Bru' berkata, hanya wartawan profesional sahaja mampu mematuhi kesemua lapan kod yang disemak semula oleh Jabatan Penerangan (JaPen).

"Tak kisah lah Kod Kewartawanan 1989 ka (sewaktu kali pertama dilancarkan), kod 2024 ka ataupun kod Kewartawanan 2030 ka selaku golongan profesional kami boleh (mematuhi kod itu)...kerana kami bercakap soal berlaku adil, ketelusan dan berasaskan fakta.

"Kami tidak berkhidmat kepada ahli politik atau ahli perniagaan tetapi memberi khidmat kepada orang ramai, rakyat dan hanya wartawan profesional mampu berbuat demikian. Kami adalah yang tulen,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Yong Soo Heong pula berkata, Kod Etika Wartawan Malaysia akan mendukung nilai dan standard kerjaya ini dan pada masa sama membina keyakinan dan kewibawaan dalam kalangan pembaca atau penonton.

Yong yang juga Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) berkata, kod itu memberi panduan kepada pengamal media untuk memelihara integriti dalam pekerjaan mereka ketika mengejar laluan kebenaran, keadilan dan kebebasan.

"Dalam mematuhi kod etika ini, ia juga boleh menyediakan perlindungan perundangan kepada wartawan untuk mempertahankan diri daripada dakwaan memfitnah atau isu lain,” katanya.

Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, sememangnya satu perkara yang baik untuk ada penambahbaikan.

"Saya berpeluang untuk menyertai sebahagian daripada perbincangan dan secara keseluruhan kod etika ini merupakan panduan yang baik untuk media apabila kami menghantar berita,” katanya.

Kod Etika Wartawan Malaysia yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), menggariskan lapan tanggungjawab utama wartawan.

Selain daripada menjadi suara kepada masyarakat majmuk dan menjadi agen pemudah cara dialog, mereka perlu telus dan berintegriti apabila menjalankan tanggungjawab mereka.

Mereka juga digalakkan supaya konsisten untuk berlaku adil dalam menyampaikan maklumat dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi. - Bernama