KPKT yakin 9,500 rumah PR1MA siap tahun ini

Kor Ming. - Foto Bernama
Kor Ming. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Pemaju rumah mampu milik (RMM) terbesar Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), diyakini dapat menyiapkan 9,500 unit RMM menjelang akhir Disember, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Kor Ming dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat PR1MA di Petaling Jaya, Jumaat lepas dan telah menerima taklimat daripada Pengerusi PR1MA Datuk Azrulnizam Abdul Aziz serta pengurusan kanan agensi perumahan tersebut.

"Saya juga dimaklumkan bahawa PR1MA akan menyelesaikan kesemua 24 projek sakit yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu,” katanya.

Pada 15 Mei lepas, Kor Ming dilaporkan berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), akan memastikan tiada lagi projek sakit membabitkan PR1MA, menjelang tahun hadapan.

Ketika lawatan tersebut, Kor Ming turut dimaklumkan berkenaan penyediaan 53,646 unit kediaman PR1MA di seluruh negara, di mana projek tersebut turut memberi penekanan kepada pembangunan komuniti daripada pelbagai aspek seperti kesejahteraan dan keselamatan, sosioekonomi dan pembangunan sosial para penduduknya.

Beliau berkata, KPKT komited untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

"Rumah-rumah ini akan dibina mengikut lima prinsip penting iaitu kebolehcapaian, kebolehdiaman, ketersambungan, komuniti yang baik dan kemampanan, untuk memenuhi keperluan perumahan masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Mengenai projek perumahan sakit, katanya sejak penubuhan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST), KPKT telah menyelamatkan 256 projek perumahan dengan nilai pasaran RM23.37 bilion. - Bernama.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!