PGA rampas 98.3 kg syabu bernilai RM3.24 juta dekat Padang Besar

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor, Perak merampas dadah disyaki syabu seberat 98.3 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM3.24 juta dalam rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di kawasan laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pasukan itu yang terdiri daripada seorang pegawai dan lapan anggota menjumpai lima bungkusan plastik berwarna hitam berisi dadah terbabit kira-kira 3 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kesemua plastik hitam itu menemukan guni berwarna putih berisi 93 peket teh Cina berwarna kuning dengan di dalamnya mengandungi serbuk putih disyaki syabu seberat 98.3kg.

"Pihak PGA membuat pemerhatian selama tiga jam, namun tiada sebarang pergerakan individu menghampiri plastik-plastik hitam itu.

"Pihak PGA bertindak merampas kesemua plastik hitam itu dan dibawa ke Subtek Kompeni ‘B’ (PIP) Padang Besar untuk pemeriksaan, seterusnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shokri berkata, siasatan awal mempercayai syabu itu dibawa masuk ke Malaysia menggunakan laluan tikus iaitu melalui lubang pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar yang telah dipotong.

Beliau berkata dadah terbabit dipercayai untuk pasaran negeri Utara dan boleh digunakan kira-kira 400,000 penagih. - Bernama

Artikel Berkaitan: